Bentuk Gen Z kental pertahankan negara

Bentuk Gen Z kental pertahankan negara

INI akan mengubah persepsi terhadap generasi Z yang sering dilabel sebagai terlalu selesa, manja dan bergantung kepada teknologi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM mendepani cabaran dunia moden yang semakin kompleks, negara memerlukan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang akademik dan berkemahiran teknikal, tetapi turut memiliki disiplin, ketahanan mental serta semangat patriotisme yang tinggi.

Atas asas itu, penganjuran Malaysian Polytechnics Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) Siri 17/2026 menjadi platform penting dalam membentuk generasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bersedia menyumbang kepada pertahanan negara.

Program ini hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Tentera Darat Malaysia memilih Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Rejimen 503 Askar Wataniah sebagai hos bagi tahun bersejarah ini.

Kejohanan ini akan berlangsung dari 1 hingga 15 Jun 2026 dengan penglibatan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh negara.

MALPTAAC bukan sekadar latihan ketenteraan, tetapi platform pembangunan modal insan melalui latihan kawad kaki, ujian menembak, multi relay dan merentas halangan yang menguji fizikal serta mental peserta.

Dalam situasi mencabar itu, nilai kepimpinan, komunikasi, disiplin dan semangat setiakawan diterapkan secara langsung.

Lebih menarik, program seperti ini turut mengubah persepsi terhadap generasi Z yang sering dilabel sebagai terlalu selesa, manja dan bergantung kepada teknologi.

Hakikatnya, apabila diberikan cabaran, disiplin dan pendedahan yang tepat, anak muda mampu tampil sebagai generasi yang berani, tahan lasak dan sanggup berkorban demi negara.

Melalui latihan ketenteraan dan aktiviti lapangan, peserta dilatih keluar daripada zon selesa, mengurus tekanan serta memahami makna sebenar tanggungjawab dan pengorbanan dalam mempertahankan keamanan tanah air.

Lebih penting, penglibatan pelajar TVET dalam Askar Wataniah memperlihatkan bahawa bidang teknikal dan pertahanan negara saling melengkapi, khususnya dalam era pertahanan moden yang memerlukan tenaga mahir dalam teknologi, kejuruteraan dan pengurusan operasi.

Ini bagi melahirkan generasi pewaris yang berilmu, berdisiplin, berjiwa patriotik dan bersedia menjadi benteng pertahanan Malaysia pada masa depan. – UTUSAN

NOOR IDAYU YEOP HUSIN
Ketua Unit Komunikasi Korporat
Politeknik Ungku Omar

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN