PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan latihan ketenteraan yang konsisten dan realistik di lapangan sebenar amat penting bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, Markas ATM berkata, pihaknya turut menjunjung kasih serta merafakkan penghargaan atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pasukan itu.
Menurutnya, titah berkenaan mencerminkan sinergi strategik kukuh antara Institusi Diraja, kerajaan negeri dan ATM termasuk kesediaan kerajaan Johor memberikan ruang serta kerjasama penuh bagi pelaksanaan eksesais ketenteraan.
“ATM turut menjunjung setinggi-tinggi kasih atas jaminan Pemangku Sultan Johor untuk terus membuka pintu dan menyantuni veteran ATM yang pastinya melonjakkan lagi moral warga perkhidmatan.
“Pengiktirafan terhadap jasa perwira yang telah menamatkan perkhidmatan membuktikan pengorbanan mereka kekal dihargai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
ATM turut menegaskan pasukan itu sentiasa beroperasi berlandaskan lunas perundangan dalam melaksanakan mandat mempertahankan negara.
Katanya, latihan yang konsisten dan realistik di lapangan sebenar merupakan prasyarat penting bagi memperkasa kompetensi taktikal warga ATM selain memastikan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“ATM akan terus memfokuskan sumber dan kepakaran kepada objektif teras pertahanan nasional.
“ATM juga kekal profesional dan akan sentiasa meletakkan keselamatan rakyat serta kedaulatan tanah air sebagai keutamaan mutlak di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail menyatakan pendirian untuk terus berdiri teguh bersama ATM dan memberikan sokongan penuh kepada pasukan ketenteraan itu dalam apa jua keadaan. – UTUSAN










