Kerajaan berkecuali, pastikan industri akses cip AI global secara selamat

Kerajaan berkecuali, pastikan industri akses cip AI global secara selamat

PENGERUSI Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan pendirian berkecuali dan inklusif bagi memastikan syarikat serta industri di Malaysia dapat terus mengakses cip kecerdasan buatan (AI) antarabangsa, termasuk cip keluaran Amerika Syarikat seperti NVIDIA dan dari China seperti Huawei Ascend.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pendekatan itu penting supaya Malaysia tidak terikat kepada mana-mana blok geopolitik sekali gus memastikan industri tempatan dapat memanfaatkan teknologi AI terbaik secara selamat dan berdaya saing.

Katanya, langkah itu juga selari dengan strategi kerajaan untuk mengekalkan kesinambungan rantaian bekalan semikonduktor dan memperkukuh ekosistem teknologi negara.

“Kerajaan mengambil pendekatan berkecuali dengan memberi ruang kepada syarikat di Malaysia untuk menggunakan cip AI daripada mana-mana negara selagi ia memenuhi aspek keselamatan, pematuhan dan keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan R. Yuneswaran (PH-Segamat) yang meminta penjelasan mengenai strategi Malaysia dalam memastikan akses kepada cip AI global di Dewan Rakyat hari ini.

Zafrul menjelaskan, penguatkuasaan Akta Perdagangan Strategik 2010 memastikan semua aktiviti eksport, transit dan pemindahan cip AI dikawal selia melalui permit bagi menjamin keselamatan serta ketelusan perdagangan teknologi sensitif.

“Dasar ini adalah langkah penting untuk melindungi kepentingan negara sambil memastikan industri kita tidak ketinggalan dalam persaingan global,” katanya.

Beliau menambah, strategi kerajaan turut merangkumi pembangunan infrastruktur domestik seperti pusat data, rangkaian berprestasi tinggi serta penyelidikan dan reka bentuk cip melalui inisiatif Visi Silikon dan kerjasama dengan ARM Limited.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bersama agensi berkaitan dan rakan dagang utama akan terus memastikan akses kepada cip AI antarabangsa tidak terganggu, sambil memperkukuh keupayaan inovasi tempatan dan transformasi digital negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×