Guna AI untuk tingkat kualiti hidup, bukan keuntungan ekonomi semata-mata - Raja Permaisuri Agong

Guna AI untuk tingkat kualiti hidup, bukan keuntungan ekonomi semata-mata – Raja Permaisuri Agong

RAJA Zarith Sofiah menyampaikan Titah Diraja sempena Majlis Konvokesyen Ke-70 UTM, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, teknologi kecerdasan buatan (AI) seharusnya dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan bukan untuk keuntungan ekonomi semata-mata.

Raja Zarith yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertitah, dalam dunia yang kini dipacu teknologi AI, peluang dan cabaran yang akan dilalui adalah begitu besar dan mencabar.

Titahnya, sebagai universiti penyelidikan yang menerajui penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama di Malaysia, UTM memikul tanggungjawab penting untuk memastikan pembangunan teknologi terus dipandu oleh etika, integriti dan nilai kemanusiaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam masa sama, Baginda bertitah, kemajuan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada kelestarian bumi.

“Sebagaimana yang telah kita lihat, aktiviti manusia telah memberikan impak yang besar terhadap perubahan iklim, pencemaran, kehilangan biodiversiti dan sumber alam.

“Saya berharap pihak berkuasa, pihak swasta dan juga masyarakat dapat menilai kesan pusat data di negara ini.

“Kita perlu mempertimbangkan keperluan penggunaan elektrik dan air yang sangat tinggi, penyalahgunaan tanah serta kesan pusat data terhadap masyarakat kita, termasuk tahap bunyi bising dan kecerahan lampu yang digunakan sepanjang hari sampai ke waktu malam,” titahnya sempena Majlis Konvokesyen Ke-70 UTM di sini, hari ini.

Turut berangkat, Pro-Canselor UTM, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Baginda bertitah, sebagai masyarakat yang berilmu, kita mesti memainkan peranan dalam menangani kerosakan alam semula jadi yang bermula dengan perubahan sikap dan rasa tanggungjawab untuk memelihara dunia kita untuk generasi akan datang.

“Saya berharap bahawa saudara-saudari akan menjadi pemimpin yang berani membuat keputusan, tetapi bersedia mendengar pandangan.

“Jadilah profesional yang yakin dengan kepakaran, tetapi sentiasa terbuka untuk belajar. Jadilah warga global yang mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai budaya, tetapi tetap teguh dengan nilai dan jati diri,” titah Baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini