KDN jamin operasi AKPS tidak terjejas

KDN jamin operasi AKPS tidak terjejas

SAIFUDDIN Nasution Ismail menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Kampung Sungai Tiram, Lekir, Sitiawan, Perak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak terjejas meskipun Ketua Pengarahnya akan dikembalikan kepada pasukan asal, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa seluruh operasi agensi berkenaan akan terus berjalan seperti biasa walaupun berdepan situasi itu.

Katanya, beliau telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman memberikan perhatian khusus bagi memastikan kelancaran operasi agensi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya beri jaminan operasi AKPS tidak terjejas kerana agensi ini penting. Namanya pun Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, jadi tidak boleh kerana ketua pengarahnya terlibat (pertukaran), jadi seluruh organisasi itu terhenti.

“Sebab itu, saya meminta KSU memberikan perhatian khusus dalam menghadapi situasi ini kerana kita belum pernah melalui pengalaman seumpama ini.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana berdasarkan laporan lapangan yang diterima setakat ini, operasi AKPS tidak terganggu sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Kampung Sungai Tiram, Lekir, Sitiawan, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan ketua pengarah baharu agensi berkenaan, beliau berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan.

“Kita belum sampai tahap itu lagi, bagi selesai satu-satu dahulu,” katanya.

KDN sebelum ini mengambil keputusan mengembalikan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dalam kontrak peminjaman kader sebagai Ketua Pengarah AKPS kepada PDRM.

Mohd. Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun dari 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, pada 28 September di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini