KUALA LUMPUR: Tindakan terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dilaksanakan mengikut lunas perundangan selepas siasatan kes membabitkan beliau dijalankan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi baik Mohd. Shuhaily tidak mengecualikan beliau daripada mematuhi peraturan.
“Jika tanya saya daripada segi peribadi, saya simpati dengan beliau tetapi proses itu, bila ada dakwaan sama ada daripada orang ramai atau polis, itu soal siasatan.
“Jangan minta saya atau Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail campur tangan sampai ke situ.
“Cuma sekarang ini, jika didapati oleh pihak pendakwaan bahawa ada kes untuk didakwa, beliau dakwa. Bila didakwa, proses ikut peraturan negara,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta penjelasan mengenai pertukaran semula Mohd. Shuhaily ke Polis Diraja Malaysia (PDRM). -UTUSAN











