Amir Ahnaf hilang rasa yakin, sangka kerjaya lakonan sudah berakhir - Utusan Malaysia

Amir Ahnaf hilang rasa yakin, sangka kerjaya lakonan sudah berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mengakui melalui masa sukar sepanjang dua bulan terakhir ini, pelakon, Amir Ahnaf berkata dia sempat menyangka kerjaya lakonannya sudah berakhir.

Kata Amir atau Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 26, dunia lakonan memberikan makna besar kepadanya yang berhasrat mengangkat bakat seni demi masa depan industri lebih baik.

“Saya tak percaya yang kalian semua berada di sini sebenarnya. Sebab saya ingat saya sudah pupus dalam industri ini. Saya ingat saya sudah tiada lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berada dalam industri ini sebab mahu membantu keluarga dan industri kita.

“Saya mahu mengangkat bakat-bakat yang sebelum ini tidak diberikan perhatian untuk berkongsi rasa dengan kita semua,” katanya ketika tayangan filem Baga: Esok Untuk Siapa di TGV Pavillion Damansara Height, di sini, semalam.

Dilihat sebak, pelakon yang meledak menerusi watak Kahar itu mendedahkan kontroversi yang melandanya sempat membuatnya hilang rasa percaya namun Baga mengembalikan keyakinan itu.

“Saya hilang rasa kepercayaan terhadap diri sendiri. Tapi selepas melihat, mendengar dan merasai apa yang kalian rasa, saya bersyukur kerana kalian lebih menghargai perasaan manusia.

“Saya jujur dalam setiap apa yang saya buat, apatah lagi naskhah yang saya bawa. Bukan saya seorang, tetapi bersama barisan pelakon dan tenaga produksi lain yang semuanya datang dengan hati yang jujur.

“Saya percaya apa yang kita buat dalam hidup kita tak kisah apa benda pun, kalau jujur, semua orang akan rasa. Dan saya bersyukur sebab kalian rasa sekali,” katanya.

Kongsinya lagi, Baga merupakan naskhah yang mengesankan sekali gus berharap agar penonton dapat memberi peluang kepada bakat baru yang dipertaruhkan.

“Saya angkat cerita ini bukan sebab saya seorang. Saya angkat kita semua.

“Kita buat semua ini bukan untuk kita, tetapi untuk industri Malaysia dan supaya kalian semua dapat merasainya. Terima kasih sebab percaya dan hargai,” kongsinya.

Terdahulu, nama Amir Ahnaf sekali lagi terbabit kontroversi apabila tangkap layar komennya kepada seorang pempengaruh seksi tular di media sosial.

Dalam perkembangan terkini, Amir melakonkan watak utama, Jani dalam filem Baga arahan Ariff Zulkarnain menceritakan sistem kehidupan masyarakat marginal melibatkan dadah di Terengganu.

BAGA akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 November ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini