DUN Kelantan: Tiada kompromi kelemahan tadbir urus

DUN Kelantan: Tiada kompromi kelemahan tadbir urus

MOHAMED FADZLI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan tidak berkompromi terhadap sebarang kelemahan dalam tadbir urus pentadbiran negeri sebaliknya tindakan pembetulan perlu diambil segera sebaik sahaja perkara itu dikenal pasti menerusi audit dalaman.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, setiap penemuan audit perlu diberi perhatian serius bagi mengenal pasti punca kelemahan sebelum tindakan sewajarnya diambil untuk memperbaiki dan membersihkan sistem pentadbiran.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan integriti dan tadbir urus jabatan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sentiasa diperkukuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tahu bahawa ada audit dalaman dan apabila dilaporkan, ambil tindakan terus. Supaya kita tahu di mana silapnya dan kita betulkan serta bersihkan. Bagaimanapun mengikut prinsip undang-undang adalah, apabila dituduh, seseorang itu tidak semestinya bersalah sehingga dibuktikan. Seseorang itu tidak bersalah sehingga dia diberikan hak perbicaraan yang adil dan kemudian didapati bersalah oleh mahkamah. 

“Itupun ada peringkat rayuan sebab mahkamah menilai dari sudut dokumen dan sebagainya. Kadangkala dia didapati bersalah pada peringkat awal tetapi akhirnya didapati tidak bersalah. Ini berlaku di mana-mana,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Rodzi Ja’afar (Pas-Gaal) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh usaha pencegahan rasuah menerusi Pelan Tindakan Antirasuah Organisasi (OACP) yang dilaksanakan di peringkat jabatan, agensi, PBT dan GLC.

Katanya, pelaksanaan OACP bagi tempoh 2025 hingga 2029 melibatkan 11 jabatan utama dan jajahan serta 12 PBT, dengan pemantauan dilakukan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU).

“Pencapaian keseluruhan pelan berkenaan perlu dinilai berdasarkan laporan prestasi terkini yang merangkumi jumlah inisiatif diselesaikan, penemuan audit serta tindakan pembetulan yang dilaksanakan. Kerajaan negeri turut memberi perhatian serius terhadap aspek integriti, tadbir urus yang baik dan pencegahan rasuah, termasuk dalam urusan perolehan membabitkan GLC,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini