BAITULMUQADDIS: Calon Perdana Menteri Israel, Gadi Eisenkot mengecam kempen perkauman dan agresif untuk menafikan legitimasi warga Arab di negara itu, susulan tuduhan Perdana Menteri sementara, Benjamin Netanyahu bahawa parti-parti Arab Palestin melakukan penipuan pilihan raya tanpa mengemukakan sebarang bukti.
Netanyahu berulang kali menyasarkan parti-parti Arab dan warga Palestin di Israel selepas partinya mencatatkan prestasi mengecewakan dalam pilihan raya, dengan menuduh mereka memanipulasi keputusan pengundian serta mempunyai kaitan dengan Hamas.
Bagaimanapun, pihak berkuasa pilihan raya Israel menolak dakwaan berkenaan kerana tidak disokong bukti.
Warga Arab Israel, yang sebahagian besarnya berketurunan Palestin, membentuk lebih 20 peratus daripada keseluruhan penduduk negara itu.
Agensi keselamatan dalam negeri Israel, Shin Bet turut berusaha menyoal siasat empat ahli Parlimen Arab, termasuk ketua parti Ra’am yang majoriti ahlinya terdiri daripada warga Arab, Mansour Abbas.
Tindakan itu mencetuskan tuduhan agensi keselamatan berkenaan sudah dipengaruhi kepentingan politik.
“Warga Arab Israel merupakan sebahagian penting daripada sejarah dan kehidupan negara ini. Usaha meminggirkan mereka serta memburukkan seluruh komuniti secara kolektif merupakan pencabulan serius terhadap prinsip kepimpinan negara.
“Warga Arab telah menjadi sasaran kempen perkauman dan agresif untuk menafikan legitimasi mereka, yang didorong Perdana Menteri yang akan berundur serta pihak di sekelilingnya demi kepentingan politik.
“Perdana Menteri Israel ialah Perdana Menteri untuk semua rakyat negara ini, termasuk mereka yang tidak mengundinya,” kata Eisenkot dalam satu kenyataan dipetik The Guardian.
Kenyataan itu merupakan tindakan yang jarang dilakukan oleh pemimpin politik Yahudi berpengaruh untuk tampil secara tegas mempertahankan warga Arab Israel.
Kenyataan tersebut turut mencerminkan realiti politik negara itu apabila parti-parti Arab kini muncul sebagai penentu dalam pembentukan kerajaan susulan keputusan pilihan raya terbaharu.
Dua parti majoriti Arab, Ra’am dan Joint List memperoleh 19 kerusi dalam pilihan raya Oktober lalu.
Kedua-dua parti itu berpotensi membantu Eisenkot membentuk gabungan kerajaan, sekali gus membolehkannya menjadi Perdana Menteri Israel yang baharu.
Sekiranya Eisenkot gagal membentuk gabungan dalam tempoh 28 hari, dengan kemungkinan lanjutan 14 hari, mandat membentuk kerajaan akan diserahkan kepada ahli Parlimen lain, yang berkemungkinan termasuk Netanyahu.
Bagaimanapun, beberapa pihak berhaluan kanan dalam blok pembangkang memberi amaran akan menarik balik sokongan terhadap bakal Perdana Menteri itu sekiranya beliau bekerjasama dengan parti-parti Arab.











