KUALA LUMPUR: Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) paling ramai kehilangan wang deposit apabila 15 daripada 16 calon parti itu gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada jumlah keseluruhan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Secara keseluruhan, seramai 26 calon kehilangan wang deposit selepas gagal memperoleh jumlah undi minimum yang ditetapkan.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut gagal mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila lima daripada tujuh calonnya kehilangan wang deposit, manakala Pakatan Harapan (PH) menyaksikan dua daripada 24 calon berdepan nasib sama.
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang meletakkan seorang calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek turut kehilangan wang deposit, begitu juga tiga calon Bebas yang bertanding.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rais Yasin di DUN Sungai Udang mencatatkan kemenangan dengan majoriti tertinggi sebanyak 16,214 undi.
Beliau menewaskan calon Bersatu dan Bersama yang masing-masing memperoleh 2,103 dan 1,322 undi.
DUN Sungai Udang turut menjadi antara kerusi tumpuan PRN Melaka kali ini dengan 22,195 daripada 29,692 pengundi berdaftar keluar mengundi.
Dalam perkembangan sama, calon BN, Datuk Ngwe Hee Sem mencatatkan majoriti kemenangan terendah sebanyak 938 undi di DUN Machap Jaya.
Beliau memperoleh 6,686 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon PH, Datuk Ginie Lim Siew Lin dan Prasanth Kumar Brakasam daripada Bersama.
Ngwe sebelum ini menyandang kerusi DUN Machap Jaya selepas memenanginya dengan majoriti 938 undi pada PRN Melaka 2021.- BERNAMA











