KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King, kini hanya dipisahkan satu kemenangan daripada meraih gelaran kedua sejak digandingkan apabila mara ke final Kumamoto Masters di Jepun, semalam.
Kejayaan itu membuka peluang buat pasangan ranking ke-57 dunia berkenaan mengulangi kejayaan menjuarai Terbuka Arctic pada bulan lalu, yang juga merupakan kejohanan kompetitif pertama mereka sejak digandingkan.
Hasrat tersebut semakin hampir direalisasikan selepas Aaron-Roy King menyingkirkan pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard yang menghuni ranking ke-14 dunia, 21-18, 21-18 pada aksi separuh akhir di Gimnasium Kumamoto.
Kemenangan itu hadir menerusi persembahan agresif dengan kedua-dua pemain tidak memberi ruang mudah kepada lawan, selain mengekalkan fokus ketika berdepan tekanan dalam perlawanan sengit.
Jurulatih beregu lelaki negara, Chang Kim Wai, berkata kedua-dua pemain mempamerkan aksi yang cukup baik dan berjaya mengekalkan tumpuan sepanjang perlawanan.
“Dalam perlawanan hari ini (semalam), mereka berdua sangat fokus dan bermain dengan cukup bagus.
“Jika ada sedikit kesilapan ataupun hilang fokus, memang susah juga untuk catat kemenangan,” katanya.
Kim Wai berharap Aaron-Roy King dapat meneruskan momentum itu untuk memburu kejuaraan apabila berdepan pasangan tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, pada aksi final hari ini.
“Menjelang aksi final esok (hari ini), saya harap mereka boleh menjadi juara,” katanya. – UTUSAN
KAPSYEN
AARON Tai-Yap Roy King mengejutkan beregu No.14 dunia dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada aksi separuh akhir Kumamoto Masters, semalam. – AFP










