KUALA LUMPUR: Peralihan kejurulatihan susulan peletakan jawatan Nova Widianto dilihat antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi beregu campuran negara ketika ini.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, perubahan pendekatan selepas pemergian jurulatih dari Indonesia itu memerlukan tempoh penyesuaian, khususnya buat pemain yang kini dikendalikan sementara oleh Teo Kok Siang dan Wong Pei Tty.
Menurutnya, proses peralihan tersebut perlu diberikan masa memandangkan barisan pemain masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan corak latihan serta idea baharu yang dibawa oleh barisan kejurulatihan tempatan.
“Prestasi beberapa gandingan utama negara ketika ini belum mencapai tahap diharapkan, tetapi saya percaya pemain mampu menyesuaikan diri sekiranya diberikan ruang untuk melalui proses berkenaan.
“Apabila berlaku peralihan, kita memang perlukan masa. Kita berharap pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat, tetapi pada masa sama kita perlu melihat perubahan pendekatan yang dibawa jurulatih baharu,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, kelmarin.
Rexy memberitahu, selain pemergian Nova dan pertukaran jurulatih, pihaknya juga berdepan situasi Toh Ee Wei yang mengalami kecederaan.
“Kita belum tahu bagaimana keserasian pasangan tertentu selepas perubahan yang berlaku. Selepas melihat beberapa kejohanan, ada perkara yang perlu kita bincangkan bersama pemain,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Rexy berkata, Ee Wei dijangka kembali ke BAM pada 20 November ini selepas menjalani proses pemulihan di Australia.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tempoh untuk pemain itu kembali ke gelanggang pertandingan masih bergantung kepada tahap kecergasan serta perkembangan proses rehabilitasi.
Jelasnya, BAM berharap Ee Wei dapat meneruskan proses pemulihan dengan bantuan pakar yang mengendalikan kecederaannya di Australia bagi memastikan dia tidak terlalu lama tersisih daripada kejohanan.
“Jika semuanya berjalan lancar, kita berharap dia dapat kembali beraksi pada Kejohanan All England. Kita akan lihat perkembangannya kerana kita mahu dia kembali secepat mungkin dan mungkin dapat beraksi dalam kejohanan pertama bagi kelayakan Olimpik,” katanya.
Rexy turut mengesahkan bahawa gandingan Tang Jie-Ee Wei mempunyai perlindungan ranking, sekali gus memberi sedikit ruang kepada pasangan berkenaan untuk mengharungi tempoh pemulihan tanpa terlalu terjejas dari segi kedudukan ranking dunia. – UTUSAN










