PM Anwar tiba di Manila, bawa misi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 - Utusan Malaysia

PM Anwar tiba di Manila, bawa misi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

MANILA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini malam ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung esok hingga 17 November.

 

Memuatkan artikel berkaitan…

Pesawat khas membawa Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, sekitar jam 8 malam.

 

Ketibaan Perdana Menteri disambut Setiausaha Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan (DILG) Filipina, Juanito Victor Jonvic C Remulla Jr.

 

 

View on Threads

 

 

Turut hadir, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Amran Mohamed Zin serta Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

 

Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

 

Esok, Perdana Menteri dijadual menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 yang merangkumi Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman, selain tiga sesi libat urus bersama Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan Belia ASEAN.

 

Beliau kemudian dijadual menyertai empat sidang kemuncak bersama rakan dialog, iaitu ASEAN-China Ke-29, ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-16, ASEAN-Australia Ke-6 dan ASEAN-Republik Korea Ke-27.

 

Selain pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawat dari negara anggota ASEAN, turut menjadi tumpuan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) Ke-12.

 

Penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak kali ini penting bagi memelihara kepentingan negara selain memperkukuh peranan aktif Malaysia dalam menentukan hala tuju masa depan ASEAN.

 

Penglibatan peringkat tertinggi itu turut membolehkan Malaysia menyumbang kepada perbincangan dan pembentukan dasar serantau merangkumi aspek politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.

 

Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan serantau, merapatkan persefahaman dan memperluas kerjasama demi keamanan, kestabilan serta kemakmuran bersama.

 

“Saya bersama Azizah berlepas ke Manila, Filipina bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung hingga Selasa depan.

 

“Mohon doa semua agar perjalanan dan segala urusan dipermudah serta misi ini membuahkan hasil yang bermakna buat Malaysia dan seluruh rantau ASEAN,” menurut hantaran berkenaan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini