WASHINGTON: Gangguan besar-besaran terhadap sistem penerbangan Amerika Syarikat (AS) yang berlarutan hampir lima jam dan menjejaskan lebih 20,000 penerbangan sejak Jumaat dipercayai berpunca daripada sebuah router yang dipasang oleh kontraktor kerajaan, L3Harris.
Pegawai kerajaan pada Sabtu berkata, insiden itu berkemungkinan berpunca daripada satu peranti berkenaan.
Kejadian itu sekali lagi mendedahkan kelemahan sistem telekomunikasi kawalan trafik udara AS yang semakin usang, selain kesukaran menggantikan sistem lama tanpa menjejaskan operasi komunikasi sedia ada.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sistem telekomunikasi Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berulang kali mengalami kegagalan akibat kabel gentian optik terputus secara tidak sengaja, pemadaman fail secara tidak sengaja serta bau bahan kimia kuat yang berpunca daripada komponen cair.
Pegawai berkata, sistem itu berisiko mengalami kegagalan sekali lagi sekiranya tidak dinaik taraf dengan sewajarnya.
“Ini adalah sistem FAA yang gagal berfungsi ketika diperlukan,” kata Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy.
Duffy berkata, L3Harris menjalankan kerja penyelenggaraan rutin pada Jumaat bagi menukar talian telekomunikasi daripada kabel tembaga lama kepada gentian optik di sekurang-kurangnya satu lokasi terpencil.
“Kami memerlukan L3Harris atau mana-mana pihak yang membekalkan router itu untuk melakukan kerja dengan lebih baik,” katanya.
Menurut Duffy, hampir semua institusi di AS sudah beralih daripada kabel tembaga kepada gentian optik serta sistem analog kepada digital namun router yang sedang digantikan itu berusia kira-kira 25 tahun dan sepatutnya ditukar pada 2006.
Pegawai memaklumkan kepada Reuters masalah mungkin berlaku pada router yang dipasang di Arkansas dan Texas.
“Kami sedang mengenal pasti sama ada berlaku kecuaian, sama ada kesilapan pengguna atau pemasang daripada L3Harris, atau mereka memasang router yang rosak. Kami masih belum menentukan punca sebenar masalah itu.
L3Harris berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan sedang membantu FAA menjalankan siasatan bagi mengenal pasti keadaan yang menyebabkan arahan menghentikan sementara operasi penerbangan di seluruh negara sejak semalam.
Syarikat itu turut memaklumkan lebih 70 peratus kerja penukaran sistem komunikasi ruang udara daripada kabel tembaga lama kepada sistem gentian optik sudah diselesaikan.
FAA membelanjakan AS$1 bilion (RM4.08 bilion) setiap tahun untuk menyelenggara sistem kabel tembaga lama itu, ketika agensi berkenaan giat mempercepat usaha menggantikannya dengan sistem komunikasi berasaskan gentian optik yang lebih moden.
Masalah itu bermula apabila sistem komunikasi di 17 daripada 22 pusat kawalan trafik udara dalam perjalanan FAA di seluruh negara mengalami beban berlebihan, sekali gus mendorong agensi itu mengeluarkan arahan menghentikan sementara semua penerbangan selepas gagal mengenal pasti punca utama gangguan.
Penumpang yang keletihan bersiap sedia menghadapi kemungkinan lebih banyak gangguan penerbangan meskipun perkhidmatan di lapangan terbang AS kembali beroperasi selepas dihentikan selama beberapa jam.
Arahan menghentikan sementara semua penerbangan di seluruh negara sejak semalam yang bermaksud tiada pesawat dibenarkan berlepas, mencetuskan kekecohan meluas dan menyebabkan ratusan ribu penumpang terkandas dalam ketidakpastian.
Malah, ada penumpang yang diarahkan turun dari pesawat oleh kakitangan syarikat penerbangan beberapa saat sebelum penerbangan dijadualkan berlepas.











