PETALING JAYA: Penyanyi, Aina Abdul memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia selepas tidak berjaya merealisasikan harapan peminat untuk melihatnya muncul sebagai juara Eurovision Song Contest Asia 2026, malam tadi.
Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 33, berkata, dia sedar bahawa rakyat Malaysia meletakkan harapan tinggi terhadapnya untuk muncul juara dalam pertandingan tersebut.
“Saya minta maaf sekiranya mengecewakan anda semua. Saya yakin kami sudah melakukan yang terbaik dan saya juga sudah memberikan segala-galanya.
“Tapi, ini antara perjalanan terbaik dalam kerjaya saya kerana pengalaman ini tidak pernah ada dalam buku atau mana-mana panduan. Saya perlu melaluinya sendiri,” katanya menerusi satu hantaran video media sosial TV3, semalam.
Aina mengumpul 152 markah, manakala wakil Filipina, Carmelle muncul juara dengan 211 markah, sekali gus mengatasi 10 peserta lain yang turut bersaing dalam pertandingan berkenaan.
Dalam perkongsian itu, Aina turut berkongsi keadaan emosinya selepas menamatkan saingan apabila dilihat sebak sehingga terdiam seketika ketika menyampaikan luahan hati.
Bagaimanapun, Aina menjelaskan tangisannya bukan menggambarkan kekalahan tetapi sebagai reaksi emosi selepas melalui pengalaman yang cukup panjang.
“Walaupun saya mengalirkan air mata, bukan bermakna saya kalah dengan diri sendiri. Itu cuma emosi selepas segala-galanya selesai.
“Saya tahu diri saya. Saya cuma perlukan beberapa jam, mungkin sehari atau beberapa hari. Selepas itu, saya akan baik-baik sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Aina meluahkan rasa syukur kerana mendapat sokongan daripada pasukan kerja yang sentiasa bersamanya sepanjang menyertai pertandingan berkenaan.
Katanya, meskipun tidak berjaya membawa pulang gelaran juara, pengalaman dan hubungan yang terjalin sepanjang perjalanan itu tetap menjadi sesuatu yang berharga.
“Walaupun tidak menang, tapi kita sudah memenangi hati masing-masing dan itu paling penting,” katanya.
Aina turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan sepanjang dia membawa nama negara di pentas antarabangsa.
“Terima kasih dari lubuk hati saya atas segala sokongan. Saya sayangkan anda semua,” katanya.
Semalam, Aina menutup saingan pertandingan berkenaan dengan membuat persembahan pada giliran ke-11.
Aina mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri berjudul Bluest Sky sebagai wakil Malaysia dalam Eurovision Song Contest Asia 2026 yang menghimpunkan peserta dari 11 negara Asia. – UTUSAN










