Eisenkot tolak kerajaan perpaduan bersama Netanyahu

Eisenkot tolak kerajaan perpaduan bersama Netanyahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Pendedahan berhubung dakwaan campur tangan pilihan raya oleh pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan telah menutup terus peluang untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama parti pimpinannya, Likud.

Menurut laporan penyiar awam Israel KAN pada Isnin yang memetik sumber daripada blok pimpinan Ketua Parti Yashar, Gadi Eisenkot, perkembangan terbaharu itu menyukarkan sebarang kerjasama politik antara kedua-dua pihak.

Sumber blok berkenaan menyifatkan insiden tersebut sebagai satu cubaan rampasan kuasa dan menuntut agar ketua agensi keselamatan dalam negeri Shin Bet, David Zini serta ketua agensi risikan Mossad, Roman Gofman, segera disingkirkan daripada jawatan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Eisenkot kini sedang giat berusaha membentuk kerajaan baharu Israel bersama gabungan blok pembangkang yang turut disertai parti pimpinan Naftali Bennett, Yair Golan, dan Avigdor Lieberman.

KAN melaporkan prospek rundingan membentuk kerajaan perpaduan sebelum ini sudah pun terjejas teruk susulan serangan lisan Netanyahu terhadap parti-parti Arab ketika majlis angkat sumpah Knesset minggu lalu.

Ketegangan politik antara kedua-dua kem turut memuncak berikutan lawatan Gofman ke Amerika Syarikat (AS) bagi membincangkan isu Iran yang didakwa dirahsiakan daripada pengetahuan Eisenkot walaupun beliau baru sahaja mengadakan pertemuan dengan Netanyahu beberapa jam sebelum lawatan itu berlepas.

Terdahulu pada Ahad, stesen televisyen tempatan Channel 12 mendedahkan pejabat Netanyahu telah menyalurkan maklumat yang mendorong pihak polis menahan aktivis parti United Arab List (Ra’am) pada hari pengundian 27 Oktober lalu.

Menurut hasil siasatan media berkenaan, pihak polis tetap meneruskan penahanan tersebut walaupun seorang pegawai perisikan telah memberi amaran agar kesahihan sumber maklumat itu disemak terlebih dahulu, sebelum sumber terbabit akhirnya dikenal pasti sebagai bekas pembantu di pejabat Perdana Menteri.

Laporan Channel 12 itu turut mendedahkan Ketua Shin Bet, David Zini, pernah memohon kebenaran untuk memintas talian komunikasi lima ahli parlimen Arab pada hari pilihan raya atas alasan disyaki wujud campur tangan asing, namun permohonan berkenaan ditolak oleh Peguam Negara, Gali Baharav-Miara.

Setakat ini, pejabat Netanyahu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas rasmi berhubung pendedahan media terbabit mahupun tuntutan penyingkiran ketua perisikan oleh blok pembangkang. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini