Claypot ‘kerak nasi’ jadi tarikan Jom Claypot - Utusan Malaysia

Claypot ‘kerak nasi’ jadi tarikan Jom Claypot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengidamkan nasi claypot dengan kerak nasi di tepi periuk, mi buatan tangan serta aneka hidangan yang membawa nostalgia makanan masyarakat Cina tempatan? Restoran Jom Claypot di Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam, menawarkan pengalaman menikmati sajian kegemaran itu dalam versi halal yang boleh dinikmati masyarakat pelbagai kaum.

Mula beroperasi pada Disember 2025, restoran ini diasaskan oleh pasangan suami isteri, Admas Pee atau nama Islamnya, Umar Ibrahim, 38, dan isterinya, Every Kok, 36, yang sebelum ini bekerja dalam sektor swasta sebelum mengambil keputusan menceburi bidang makanan dan minuman (F&B).

Bagi pasangan ini, pembukaan Jom Claypot bukan sekadar langkah memulakan perniagaan baharu, sebaliknya menjadi peluang untuk memperkenalkan semula makanan yang dekat di hati mereka, khususnya hidangan tradisional masyarakat Cina tempatan, kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Admas, idea itu tercetus daripada kesukaran mencari nasi claypot halal yang masih mengekalkan cita rasa asli makanan masyarakat Cina tempatan. Dengan isterinya yang mahir memasak, mereka nekad menawarkan hidangan tersebut sambil memastikan penggunaan bahan yang segar dan halal.

“Kami cuba perkenalkan makanan comfort food kaum Cina, terutamanya nasi claypot ini yang sering dijual di gerai dan kedai makan kaum Cina,” katanya.

Antara tarikan utama Jom Claypot adalah Nasi Ayam Claypot yang dijual pada harga RM16.90 dan menjadi menu paling laris atau best seller di restoran berkenaan.

Bagi peminat nasi claypot, kenikmatan hidangan ini bukan hanya terletak pada nasi dan lauk yang dimasak bersama, tetapi juga pada kerak nasi yang terbentuk di bahagian tepi dan dasar periuk.

“Biasanya kalau ada peniaga yang menjual nasi claypot, tiada kerak nasi di tepi, dan hanya menjadi nasi claypot biasa sahaja.

“Tapi kita kekalkan keaslian rasa makanan masyarakat Cina negara ini dengan adanya kerak nasi itu selain penggunaan bahan segar dan halal supaya tiada rasa ragu-ragu, terutama pelanggan beragama Islam,” katanya mengenai keistimewaan menu yang menjadi pilihan utama pelanggan itu.

Bagi Admas, usaha memperkenalkan makanan Cina tempatan dalam versi halal turut mempunyai cabaran tersendiri, khususnya ketika restoran itu mula beroperasi.

Walaupun Malaysia terkenal dengan masyarakat berbilang kaum, beliau mendapati masih ada pelanggan yang kurang biasa mencuba hidangan masyarakat Cina kerana persoalan berkaitan status halal.

Admas, yang berasal dari Pulau Pinang dan memeluk Islam sejak tujuh tahun lalu, berkata beliau kerap berdepan pertanyaan daripada pelanggan yang datang ke restorannya pada peringkat awal perniagaan.

“Ketika permulaan perniagaan, saya kerap ditanya pelanggan yang datang sama ada betulkah saya ini orang Muslim, oleh kerana rupa paras jelas seperti orang Cina.

“Bila dijelaskan saya mualaf dan sudah memeluk Islam sejak tujuh tahun lalu selain melihat isteri saya yang bertudung, barulah mereka yakin dan berpuas hati,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu semakin berubah apabila semakin ramai pelanggan mengenali restoran berkenaan dan berpeluang mencuba sendiri hidangan yang disediakan.

Selain Nasi Ayam Claypot, penggemar mi turut mempunyai banyak pilihan di Jom Claypot. Antaranya, Chili Pan Mee pada harga RM13.90, Sizzling Yee Mee (RM14.90), Wanton Pan Mee (RM13.90), Mee Kari (RM13.90) dan Mee Udang Hokkien (RM13.90).

Bagi pelanggan yang menggemari hidangan berkuah dengan rasa tersendiri, Asam Laksa pada harga RM13.90 turut melengkapkan pilihan menu yang ditawarkan.

Kepelbagaian hidangan ini memberi pelanggan alternatif selain nasi claypot, mengikut cita rasa masing-masing.

Satu lagi keistimewaan restoran ini adalah penyediaan mi secara buatan tangan, khususnya Pan Mee dan Wanton Pan Mee.

Menurut Admas, mi berkenaan dibuat sendiri di restoran, dengan penggunaan sekitar 20 hingga 30 kilogram tepung setiap hari untuk menghasilkan mi bagi keperluan perniagaan.

Membawa sedikit sentuhan cita rasa Pulau Pinang, Jom Claypot turut menawarkan Penang Chicken Roll pada harga RM10.90 dan Penang Cheong Fun (RM8.90).

Pilihan ini melengkapkan kepelbagaian sajian yang boleh dinikmati pelanggan ketika berkunjung ke restoran berkenaan.

Untuk pencuci mulut, pelanggan boleh mencuba Penang Muah Chee yang dijual pada harga RM5.90. Sementara itu, Ai Yu Jelly Ice pada harga RM7.90 turut ditawarkan untuk melengkapkan hidangan selepas menikmati makanan utama.

Bagi Admas dan Every, perjalanan membangunkan Jom Claypot merupakan usaha untuk menggabungkan minat terhadap makanan dengan keinginan berkongsi warisan cita rasa yang dekat di hati mereka. – Mingguan Malaysia

 

Jom Claypot
Lokasi: Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam
Waktu operasi: Setiap hari, 11 pagi hingga 10 malam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini