Kacau bukan sekadar menjual ketakutan - Utusan Malaysia

Kacau bukan sekadar menjual ketakutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam lambakan filem seram tempatan yang sering menjadikan kisah hantu, ritual dan kejutan mengejut atau jumpscare sebagai tarikan utama, Kacau hadir dengan pendekatan tersendiri apabila mengangkat sebuah karya popular yang pernah mencuri perhatian pembaca novel tempatan.

Bagi pengarahnya, Muzzamer Rahman, Kacau bukan sekadar sebuah lagi naskhah seram yang mahu menguji keberanian penonton di pawagam, sebaliknya sebuah adaptasi yang menggabungkan elemen nostalgia karya asal dengan pendekatan penceritaan dan cita rasa pembikin filem masa kini.

Filem yang diadaptasi daripada novel tulisan Ariff Adly itu mempunyai asas tersendiri untuk menarik perhatian penonton, apatah lagi karya berkenaan pernah mencatat jualan lebih 60,000 naskhah sejak diterbitkan sekitar 2014.

Memuatkan artikel berkaitan…

Angka itu bukan sekadar menggambarkan kejayaan komersial sebuah novel, malah memperlihatkan bagaimana Kacau pernah menjadi sebahagian daripada budaya pop dalam kalangan pembaca ketika itu.

Menurut Muzzamer, pertembungan antara populariti karya asal dengan interpretasi kreatif pembikin filem generasi hari ini menjadi antara faktor yang membezakan Kacau daripada filem seram tempatan lain.

Menariknya, Muzzamer tidak meletakkan elemen ketakutan sebagai satu-satunya ukuran kejayaan filem tersebut. Sebaliknya, dia percaya kekuatan sesebuah filem terletak pada keupayaan penceritaan yang mudah dan bersahaja, tetapi disampaikan dengan teliti serta penuh penghayatan.

Justeru, meskipun Kacau masih mengekalkan elemen jumpscare yang sinonim dengan genre seram, penggunaannya tidak terlalu mendominasi keseluruhan penceritaan.

Bagi Muzzamer, elemen kejutan itu tetap mempunyai tempatnya dalam filem seram, namun perlu digunakan pada waktu yang bersesuaian dan bukannya dijadikan sandaran utama untuk membina suasana.

Pendekatan tersebut turut memperlihatkan pendirian Muzzamer bahawa sesebuah filem tidak semestinya perlu membuatkan penonton ketakutan untuk dianggap berjaya. Malah, dia mengakui tahap ketakutan seseorang penonton adalah subjektif kerana setiap individu mempunyai ketakutan tersendiri. Justeru, jika ada penonton yang menganggap Kacau bukanlah sebuah filem yang cukup menakutkan, perkara itu tidak semestinya dilihat sebagai kegagalan.

Sebaliknya, matlamat utama Muzzamer adalah untuk memastikan penonton terhibur dengan pengalaman sinematik yang cuba diketengahkan.Namun, cabaran sebenar Kacau terletak pada usaha menterjemahkan sebuah novel popular ke layar perak tanpa menghilangkan roh karya asalnya.

Dalam proses adaptasi, pengarah mengakui pihak produksi perlu menerima hakikat bahawa tidak semua perkara yang terkandung dalam novel dapat dimuatkan ke dalam filem. Kedua-dua medium mempunyai kekuatan dan batasan tersendiri, sekali gus menuntut pertimbangan kreatif yang berbeza.

Antara perubahan yang dilakukan termasuk menggugurkan subplot membabitkan kematian kanak-kanak di tasik, selain beberapa adegan seksual dan ganas yang dirasakan kurang sesuai untuk diterjemahkan ke dalam versi filem.

Biarpun perubahan sebegitu berpotensi mengundang kekecewaan dalam kalangan pembaca setia, Muzzamer tetap mahu memastikan Kacau mampu berdiri sebagai sebuah karya sinematik yang mempunyai identitinya sendiri.

Dalam hal ini, dia tidak mahu terlalu terikat dengan kehendak peminat novel sehingga menjejaskan kebebasan berkarya. Pada masa sama, penghormatan terhadap naskhah asal tulisan Ariff Adly tetap menjadi keutamaan.

Usaha mencari titik tengah itu turut dibantu penulis Nazim Masnawi yang bekerjasama dengan Muzzamer dalam proses mengolah jalan cerita.Hasilnya, Kacau dibentuk dengan hasrat untuk mengekalkan semangat karya asal, namun pada masa sama memberikan pengalaman baharu kepada penonton yang mungkin tidak pernah membaca novelnya.

Pendekatan itu penting kerana sesebuah filem adaptasi tidak seharusnya hanya berfungsi sebagai gambaran semula setiap halaman novel. Sebaliknya, ia perlu mempunyai kekuatan visual, rentak penceritaan dan struktur dramatik yang sesuai dengan kehendak layar perak.

Secara keseluruhannya, Kacau membawa satu persoalan menarik tentang hala tuju filem seram tempatan, khususnya dalam mengimbangi tuntutan hiburan, kesetiaan terhadap karya asal dan kebebasan kreatif pengarah.

Jelas bahawa Kacau tidak dibina semata-mata untuk mengejar reaksi terkejut atau jeritan penonton di pawagam. Sebaliknya, filem itu turut membawa tanggungjawab menghidupkan semula sebuah karya popular dalam bentuk yang sesuai dengan medium dan generasi baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini