Rambut presiden pertama AS dilelong RM16,460

Rambut presiden pertama AS dilelong RM16,460

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sehelai rambut milik Presiden pertama Amerika Syarikat (AS), George Washington yang dibingkaikan berjaya dilelong pada harga AS$4,000 (RM16,460) dalam satu acara lelongan pada Sabtu.

Firma lelongan Richmond Auctions memaklumkan, rambut berkenaan pada asalnya dimiliki John Gadsby yang pernah menganjurkan majlis meraikan Washington pada 1799, sebelum pemimpin itu meninggal dunia pada tahun sama.

Barangan bersejarah itu kemudian diperoleh pengumpul barangan antik, John K. Lattimer daripada waris Gadsby. Bagaimanapun, identiti pembeli terbaharu tidak didedahkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Harga jualan itu jauh lebih rendah berbanding rekod lelongan terdahulu apabila tiga helai rambut Washington yang disimpan di dalam loket terjual pada harga hampir AS$40,000 (RM164,600) pada 2021.

Berdasarkan catatan wasiat cucu perempuan Gadsby, Julia Ten Eyck McBlair pada 1928 yang disiarkan di laman web Richmond Auctions, datuknya yang menetap di Alexandria, Virginia pernah menganjurkan majlis makan malam serta sambutan ulang tahun kelahiran Washington pada 1798 dan 1799.

McBlair menyatakan Gadsby memperoleh rambut itu sebagai kenang-kenangan atas hubungan persahabatan rapat dengan Washington pada hari-hari terakhir hayat pemimpin berkenaan.

Gadsby kemudian membingkaikan rambut itu dan menggantungnya di bawah potret Jeneral Washington di kediamannya di Washington City. McBlair turut menyatakan beliau melihat barangan tersebut sepanjang hayatnya.

Washington yang mengetuai tentera AS menewaskan Britain dalam Perang Kemerdekaan serta memainkan peranan penting dalam penggubalan Perlembagaan AS dilantik sebagai presiden pertama negara itu pada 1788.

Beliau kemudian berundur pada 1797 selepas berkhidmat selama dua penggal.

Beberapa sampel rambut Washington turut dipelihara sehingga kini, termasuk sekurang-kurangnya 50 koleksi yang disimpan di bekas kediamannya di Mount Vernon yang kini dijadikan muzium.

Menurut catatan blog di laman web Mount Vernon, amalan mempamerkan rambut rakan atau insan tersayang secara terbuka mencapai kemuncak pada abad ke-19, namun sudah lama menjadi kebiasaan dalam kalangan keluarga berada seperti keluarga Washington.

Selain koleksi rambut, barangan lain berkaitan tokoh berkenaan turut mendapat perhatian pengumpul di pasaran lelongan.

Pada Julai lalu, sepucuk surat bertandatangan Washington dari 1776 yang memohon tambahan tentera bagi menentang Britain berjaya dilelong pada harga AS$109,800 (RM451,838).– BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini