Keunikan warisan Islam, keindahan alam semula jadi serta semangat kekitaan yang masih kukuh dalam kalangan penduduk menjadi kekuatan Kampung Pulau Manis, Serada di Kuala Terengganu, sehingga berjaya membangunkan kampung itu sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti.
Bukan sekadar terkenal dengan makam ulama tersohor, Syed Abdul Malik atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis, kampung berkenaan turut menawarkan pelbagai tarikan yang menggabungkan sejarah, keagamaan, alam semula jadi dan kehidupan masyarakat tradisional.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Pulau Manis Serada, Kamrul Kori berkata, pengiktirafan sebagai salah sebuah kampung pelancongan berasaskan komuniti oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu menjadi pemangkin kepada usaha mempromosikan keunikan kampung itu.
Menurutnya, pembangunan produk pelancongan di kampung berkenaan bukan sahaja memberi peluang ekonomi kepada penduduk, malah menjadi medium memperkenalkan sejarah dan warisan Islam kepada generasi muda serta pengunjung dari dalam dan luar negara.
Katanya, antara tarikan utama adalah Makam Syed Abdul Malik atau Tok Pulau Manis yang menjadi destinasi kunjungan pelancong, khususnya dari negara serumpun di Nusantara.
“Keistimewaan makam Tok Pulau Manis turut dikembangkan menerusi pembinaan Galeri Tok Pulau Manis hasil kerjasama dan sokongan pihak korporat.
“Galeri itu menjadi satu lagi tarikan pelancongan Islam di kampung ini dan menerima kunjungan pelancong hampir setiap minggu, termasuk dari luar negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Selain pelancongan berasaskan sejarah dan keagamaan, Kampung Pulau Manis turut mempunyai Pusat Rekreasi Kalang Warisan yang
menawarkan pengalaman pelancongan berkonsepkan alam semula jadi.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung termasuk mandi sungai, berkayak, mencari etok serta menikmati hidangan tradisional di samping menghayati suasana kehidupan kampung.
Gotong-royong satukan penduduk
Di sebalik pembangunan produk pelancongan, Kamrul berkata, kekuatan sebenar kampung itu terletak pada semangat ukhuwah dan kerjasama penduduk tanpa mengira peringkat usia.
Katanya, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan menjadi antara tradisi yang masih diteruskan sehingga kini, malah mampu menghimpunkan antara 100 hingga 200 penduduk pada satu-satu masa.
“Biasanya, aktiviti itu diadakan setiap satu hingga dua bulan sekali dengan penglibatan penduduk pelbagai peringkat umur.
“Menariknya, setiap keluarga akan membawa makanan masing-masing untuk dikongsi bersama. Ada kalanya kami turut memasak gula kambing atau gula kawah sebagai hidangan selepas bergotong-royong,” katanya.
Bawa lauk ke masjid
Selain gotong-royong, penduduk turut mempertahankan tradisi membawa juadah dari rumah untuk dinikmati bersama-sama di masjid. Amalan itu dilaksanakan sekurang-kurangnya dua kali setahun, khususnya pada 17 Ramadan dan sambutan Maulidur Rasul.
“Pada 17 Ramadan, penduduk akan membawa pelbagai jenis lauk-pauk dari rumah untuk berbuka puasa bersama-sama di masjid.
“Biasanya, tidak kurang 40 bekas lauk dibawa penduduk untuk dikongsi bersama. Tradisi sama turut dilakukan pada malam Maulidur Rasul sebagai sebahagian daripada aktiviti keagamaan dan mengeratkan silaturahim,” katanya.
Ekonomi penduduk
Dalam aspek ekonomi, Kamrul berkata, sebahagian besar penduduk Kampung Pulau Manis bekerja makan gaji, manakala selebihnya terbabit dalam sektor pertanian dan perniagaan kecil-kecilan.
Katanya, aktiviti ekonomi di Pusat Rekreasi Kalang Warisan turut membuka peluang kepada sebahagian penduduk untuk menjana pendapatan menerusi penyertaan dalam pelbagai perkhidmatan dan aktiviti pelancongan.
Bercakap mengenai hubungan anak perantau dengan kampung halaman, Kamrul berkata, nilai ukhuwah dan silaturahim yang dipupuk sejak sekian lama menjadi faktor utama mereka terus pulang serta mengambil tahu perkembangan kampung.
Menurutnya, hubungan itu bukan sekadar terjalin ketika musim perayaan, malah dapat dilihat menerusi sokongan anak-anak kampung yang berada di luar daerah dan negeri terhadap pelbagai program serta aktiviti kemasyarakatan.
“Kalau ada program kebajikan, kutipan derma atau usaha membangunkan kemudahan kampung, anak-anak yang berada di luar tetap akan tampil membantu.
“Ada yang menyumbang wang tunai, tenaga dan barangan. Semangat saling membantu ini masih kuat kerana mereka tidak pernah melupakan asal usul dan kampung halaman,” katanya.
Raih pengiktirafan
Kesungguhan penduduk membangunkan kampung turut membuahkan hasil apabila Kampung Pulau Manis menerima beberapa pengiktirafan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Antaranya termasuk Anugerah Aspirasi Desa Madani apabila kampung itu muncul juara peringkat negeri pada 2024. Pada 2025, kampung ini turut menyertai pertandingan peringkat kebangsaan sebelum berjaya meraih kemenangan dalam kategori tarian warisan pada awal 2026. – Mingguan Malaysia











