PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 mencatat sejarah tersendiri apabila hanya 53 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal ditandingi selepas 29 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) diumumkan menang tanpa bertanding, semalam.
Kerusi yang dimenangi GPS tanpa bertanding ialah Tanjong Datu, Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Asajaya, Muara Tuang, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong dan Sebuyau.
Turut dimenangi tanpa bertanding ialah Lingga, Beting Maro, Engkilili, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kuala Rajang, Semop, Daro, Repok, Dalat, Tellian, Katibas, Bukit Goram, Bekenu, Lambir dan Bukit Sari.
Selain Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di DUN Gedong, dua Timbalan Premier iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Bukit Sari) dan Datuk Amar Douglas Uggah (Bukit Saban) juga diisytihar menang tanpa bertanding.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, seramai 632,149 pengundi berdaftar di 29 DUN itu tidak perlu keluar mengundi pada 12 Disember ini.
Beliau berkata, 29 kerusi yang dimenangi tanpa bertanding merupakan rekod tertinggi setakat ini, mengatasi catatan 19 kerusi pada PRN Sarawak 1996.
“Sebelum ini pada tahun 1996, jumlah yang menang tanpa bertanding sebanyak 19 (kerusi) dan kali ini 29 (kerusi). Jadi ini merupakan yang terbanyak setakat ini. Siapa yang hendak bertanding dan tidak bertanding, bagi pihak SPR, kami cuma menyediakan gelanggang.
“Selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi, seramai 168 calon mewakili pelbagai parti dan calon Bebas disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Negeri Sarawak Yang Ke-13.
“SPR telah menerima dan mengesahkan sebanyak 168 kertas penamaan yang layak bertanding bagi DUN Sarawak,” katanya.
PRN Sarawak kali ini menyaksikan GPS mengemukakan calon di kesemua 82 kerusi diikuti Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dengan 29 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) (17) dan DAP (14).
Parti Bangsa Malaysia (PBM) pula mengemukakan tiga calon, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (1) manakala 22 lagi merupakan calon Bebas.
Tiada pencalonan ditolak SPR dalam proses penamaan yang berlangsung di 82 pusat penamaan di seluruh Sarawak.
Ramlan berkata, tempoh berkempen bagi 53 kerusi yang dipertandingkan bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan semalam sehingga pukul 11.59 malam, 11 Disember 2026.
Katanya, SPR turut menubuhkan 104 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen.
“Bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan dan ia satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
“SPR juga berharap agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Ramlan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka bilik gerakan yang beroperasi 24 jam sehari sehingga 12 Disember bagi menerima aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh berkempen.
Ujarnya, sebanyak 29 kerusi menyaksikan pertandingan satu lawan satu diikuti tiga penjuru di 15 kerusi dan empat penjuru di sembilan kerusi.
Ramlan berkata, SPR belum menilai jumlah penjimatan atau pelarasan memandangkan 29 kerusi itu tidak melibatkan proses pengundian dan perkara tersebut akan diselaraskan dalam tempoh terdekat.
“Berdasarkan perkiraan kita, 29 kerusi terbabit melibatkan kira-kira 30.71 peratus daripada keseluruhan 2.06 juta pengundi berdaftar di negeri Sarawak,” katanya.
Daripada keseluruhan 168 calon yang disahkan, seramai 154 merupakan calon lelaki manakala 14 lagi calon wanita dengan majoriti membabitkan 88 calon berusia 60 tahun ke atas.
Calon PBDS bagi DUN Krian, John Antau Anak Linggang, 78, merupakan calon tertua manakala calon DAP DUN Pelawan, Irene Wong Lee Ting, 24, ialah calon termuda. – UTUSAN











