Jangan khianati integriti amanah saham -Anwar

Jangan khianati integriti amanah saham -Anwar

ANWAR Ibrahim merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Stadium Merdeka semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saham ama­nah yang diwujudkan bagi menjaga kepentingan ekonomi bumiputera perlu terus dipelihara dan diuruskan secara berintegriti supaya kepercayaan rakyat terhadap institusi pelaburan negara tidak dikhianati.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) merupakan antara usaha pemimpin ter­dahulu bagi memastikan ma­syarakat Melayu dan bumiputera tidak tersisih daripada pembangunan ekonomi negara.

Katanya, inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan memperkukuh kedudukan ekonomi bumiputera, malah merangkul penyertaan seluruh rakyat da­lam usaha membina perpaduan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemimpin dahulu mengasaskan PNB, kemudian ASN dan seterusnya Amanah Saham Nasional Berhad supaya kebajikan bumiputera dipertahankan, supaya orang Melayu dan bumiputera umumnya me­rasakan mereka tidak tersisih.

“Kita ma­hu menjamin kesejahteraan dan semangat per­paduan dalam kalangan rak­yat semua kaum,” katanya pa­da sambutan Minggu Saham Ama­nah Malaysia (MSAM) di Sta­dium Merdeka semalam.

Pada masa sama, Anwar berkata, isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda dan Lembaga Tabung Haji perlu dijadikan peringatan mengenai kesan buruk apabila institusi untuk kepentingan rakyat diuruskan secara tidak bertanggungjawab.

“Kerja kita itu harus membongkar supaya jangan lagi amanah ini dikhianati. 1MDB puluhan bilion hilang. Wang itu patut kembali ke sekolah, ke universiti, ke klinik, ke rakyat. Tabung Haji puluh bilion hilang. Wang siapa? 

“Wang petani, nelayan, orang kampung, orang yang berniat me­nyimpan, menabung untuk menunaikan fardu haji pun dikhianati. Felda dirangka oleh tokoh-tokoh Almarhum Tun Abdul Razak untuk apa? 

“Untuk menjaga kepentingan bumiputera, orang miskin tidak punya tanah dibawa untuk memunggar hutan belantara supaya dapat rezeki yang halal dan memiliki tanah dan memba­ngunkan keluarga dan negara,” katanya. 

Dalam pada itu, Anwar berkata, budaya menabung dan kecelikan kewangan perlu dipupuk sejak kecil bagi membentuk ge­nerasi yang lebih berhemat dalam menguruskan pendapatan serta perbelanjaan.

“Kecelikan kewangan perlu dipupuk sejak awal supaya apa­bila dewasa dan diberikan ama­nah, mereka tidak menyalahgunakan atau merompak kekayaan yang diamanahkan kepada me­reka,” katanya.

Minggu Amanah Saham Malaysia 2026 yang berlangsung dari 27 hingga 29 November menyasarkan kehadiran 250,000 pengunjung bagi mempromosi­kan literasi kewangan dan pe­laburan menerusi gerakan ‘Kita Generasi Labur.’-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini