LOS ANGELES: Penduduk di sekitar Los Angeles dikejutkan dengan gempa bumi 5.0 magnitud disusuli puluhan gegaran susulan, menyebabkan orang ramai bergegas keluar dari rumah dan kedai di kawasan pantai.
Kejadian itu menyebabkan jubin siling jatuh dan kaca pecah di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX), manakala penggera kereta berbunyi di tempat letak kereta pasar raya ketika orang ramai berlari keluar bagi mengelak terkena objek yang jatuh.
Bagaimanapun, siri gempa bumi yang berlaku di luar pesisir Los Angeles itu tidak dilaporkan menyebabkan kerosakan atau kecederaan, menurut pihak berkuasa tempatan.
Walaupun kawasan itu sudah biasa dengan kejadian gempa bumi, gegaran yang berulang kali dirasai kali ini dianggap luar biasa oleh penduduk dan pengunjung, memandangkan bandar itu kali terakhir mengalami gempa bumi dengan magnitud sama lebih sedekad lalu.
Seorang ibu memberitahu CNN, dia yang sedang berbaring di atas katil bersama bayi berusia tujuh minggu terpaksa bergegas ke pintu terdekat di rumahnya di Redondo Beach ketika rumah itu mula bergegar.
“Bayi saya sedang tidur di atas dada saya. Kami sedang tidur bersama ketika saya terus mengangkatnya dan bergegas keluar dari katil menuju ke pintu. Ia sangat menakutkan,” kata seorang penduduk, Jaylin Mensinger, 30, yang berasal dari California.
Gempa awal bermagnitud 5.0 itu berlaku pada 9.30 pagi (waktu tempatan), kira-kira 5.9 kilometer barat daya bandar pesisir Manhattan Beach, pada kedalaman sekitar 12.2 kilometer, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Lebih banyak gegaran susulan dijangka berlaku dalam beberapa hari akan datang, kata pihak berkuasa.
Sekurang-kurangnya 40 gegaran susulan direkodkan di kawasan itu, menurut ahli seismologi Institut Teknologi California (Caltech), manakala USGS menganggarkan terdapat 30 peratus kemungkinan berlaku gegaran susulan bermagnitud 4.0 atau lebih besar.











