JAKARTA: Gempa bumi bermagnitud 6.8 melanda perairan Maluku Tenggara, Indonesia pada Selasa pagi, namun tidak berpotensi mencetuskan tsunami, menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG).
Gempa yang pada awalnya dilaporkan bermagnitud 7.1 itu berlaku pada pukul 4.11 pagi waktu Indonesia Barat.
Menurut BMKG, pusat gempa terletak di laut kira-kira 132 kilometer barat daya Maluku Tenggara, pada kedalaman 97 kilometer.
Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Wijayanto berkata, berdasarkan lokasi pusat gempa dan kedalaman hiposenternya, kejadian itu dikategorikan sebagai gempa bumi sederhana akibat perubahan bentuk batuan di dalam Lempeng Laut Banda.
Hasil analisis mekanisme sumber menunjukkan gempa berkenaan berpunca daripada pergerakan sesar mendatar.
“Pemodelan tsunami menunjukkan gempa bumi ini tidak berpotensi mencetuskan tsunami,” katanya dalam kenyataan.
Menurut laporan penduduk yang diterima BMKG, gegaran dirasai di beberapa kawasan dengan tahap intensiti berbeza.
Getaran dirasai dengan jelas di dalam rumah seolah-olah sebuah lori sedang bergerak, dilaporkan berlaku di Saumlaki, Tiakur, Dobo, Sorong, Manokwari, Manokwari Selatan, Bintuni, Tual, Fakfak dan Kaimana.
BMKG berkata, pihaknya akan terus memantau kemungkinan gempa susulan dan menyalurkan perkembangan maklumat kepada pihak berkepentingan serta orang ramai.
Selain itu, orang ramai diminta menjauhi bangunan yang mengalami keretakan atau kerosakan akibat gempa bumi.-AGENSI











