24 cedera, dua gempa bumi gegar Jepun

24 cedera, dua gempa bumi gegar Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Gempa bumi berukuran 5.7 skala Richter menggegarkan wilayah tengah Jepun awal pagi ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 24 orang cedera, selain merosakkan premis perniagaan dan mengganggu perkhidmatan kereta api.

Gempa yang berlaku pada pukul 1.04 pagi waktu tempatan itu berpusat di Wilayah Shizuoka, barat Tokyo, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA). Tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Pihak berkuasa melaporkan tiada kematian setakat ini, namun gegaran kuat menyebabkan cermin beberapa premis perniagaan pecah dan barangan di rak kedai terjatuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang pegawai kecemasan di Wilayah Aichi memberitahu AFP pihak berkuasa menerima 16 laporan kecederaan, kebanyakannya ringan.

Di wilayah jiran, Shizuoka, sekurang-kurangnya tiga wanita mendapatkan rawatan kecemasan, termasuk seorang wanita berusia 90-an yang mengalami kecederaan bahu selepas terjatuh dari katil ketika gegaran berlaku.

Bagaimanapun, akhbar Chunichi Shimbun dan stesen televisyen Tokai Television secara berasingan melaporkan sekurang-kurangnya 24 orang cedera di wilayah Aichi dan Shizuoka.

Di bandar Toyohashi, Wilayah Aichi, cermin sebuah bilik pameran kereta dilaporkan pecah, manakala barangan di sebuah kedai buku besar di bandar Toyota turut terjatuh dari rak.

Gegaran itu turut menyebabkan kelewatan dan penggantungan sementara perkhidmatan kereta api serantau pada pagi Ahad, termasuk perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi Shinkansen.

Gempa berkenaan turut dirasai sehingga ke Osaka, dengan media tempatan melaporkan seorang penduduk warga asing dibawa ke hospital selepas terjatuh dari apartmen tingkat dua akibat terkejut dengan gegaran itu.

Pihak berkuasa di Osaka belum dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan lanjut.

Dalam kejadian berasingan, gempa bumi berukuran 4.3 magnitud melanda wilayah Kumamoto pada jam 10.53 pagi waktu tempatan Ahad, menurut Agensi Meteorologi Jepun.

Tiada laporan awal mengenai kerosakan besar atau kecederaan akibat gempa kedua itu.

Wilayah di barat daya Jepun berkenaan masih dalam proses pemulihan susulan gempa bumi berukuran 7.1 magnitud pada Julai lalu yang mengorbankan 38 orang, memusnahkan kediaman dan menyebabkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini