TOKYO: Bekas Perdana Menteri Jepun, Yasuo Fukuda yang dikenali kerana berusaha menjalin hubungan stabil dengan China, meninggal dunia pada usia 90 tahun, menurut seorang pegawai parti pemerintah pada Isnin.
Fukuda meninggal dunia pada 22 Oktober, kata pegawai Parti Liberal Demokratik (LDP) itu kepada AFP.
Beliau memimpin Jepun selama setahun bermula September 2007 selepas menggantikan mendiang Shinzo Abe, yang penggal pertamanya berakhir selepas hanya 12 bulan.
Sepanjang memegang jawatan, Fukuda berusaha memperbaiki hubungan dengan China dan menjemput Presiden China ketika itu, Hu Jintao,melawat Jepun.
Lawatan Jintao pada Mei 2008 menjadikannya ketua negara China pertama yang melawat Jepun dalam tempoh sedekad.
Kedua-dua pemimpin mengeluarkan kenyataan bersama yang berikrar untuk membina hubungan saling menguntungkan berasaskan kepentingan strategik bersama.
Fukuda meletak jawatan pada September 2008 susulan kemerosotan kadar sokongannya. Beliau bersara daripada politik pada 2012.
Namun, ketika hubungan Tokyo dengan Beijing semakin tegang berikutan pertikaian mengenai gugusan pulau dan isu sejarah lain, Fukuda melawat China pada 2014 untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden Xi Jinping.
Lawatan itu membuka jalan kepada sidang kemuncak antara Jinping dengan Abe ketika beliau kembali memegang jawatan perdana menteri untuk penggal kedua. – AFP











