EXIM Bank salur lebih RM1 bilion perkukuh eksport, kelestarian

EXIM Bank salur lebih RM1 bilion perkukuh eksport, kelestarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) akan memperkukuh daya saing pengeksport tempatan dan menyokong peralihan perniagaan ke arah operasi rendah karbon menerusi inisiatif strategik bernilai lebih RM1 bilion di bawah Belanjawan 2027.

EXIM Bank, anak syarikat Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) berkata, peruntukan itu akan disalurkan menerusi kemudahan pembiayaan dan perlindungan kredit eksport bagi membantu perusahaan tempatan mengembangkan perniagaan serta menembusi pasaran antarabangsa.

“Inisiatif berkenaan turut bertujuan memperkukuh keupayaan perusahaan tempatan, mempelbagaikan pasaran eksport dan meningkatkan daya tahan perniagaan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi serta geopolitik global.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai agensi kredit eksport rasmi Malaysia, EXIM Bank akan memanfaatkan kepakaran dan keupayaan kumpulan bagi menyokong mandat perdagangan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dengan memberi tumpuan kepada impak pembangunan yang boleh diukur serta penciptaan nilai tambah,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah inisiatif itu, Program Pemacuan dan Pertumbuhan Tempatan diperuntukkan RM300 juta bagi menyediakan pembiayaan mampu milik kepada pengilang, penyedia perkhidmatan dan vendor tempatan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, produktiviti serta daya saing.

“Program berkenaan turut membantu perusahaan tempatan menyertai rantaian nilai dan bekalan syarikat multinasional serta syarikat korporat utama, termasuk dalam sektor strategik di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” katanya.

Sementara itu, Skim Eksport Lonjakan bernilai RM500 juta akan membantu usahawan dan pengeksport Malaysia membangunkan keupayaan serta kemahiran untuk memasuki pasaran antarabangsa baharu, termasuk pasaran yang kurang diterokai.

“Skim itu juga bertujuan membantu perusahaan menangani persaingan yang semakin sengit dan peningkatan kos perniagaan ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

“Bagi mengurangkan risiko ketika meneroka pasaran baharu, Malaysia Global Connect (MGC) GoExport Cover pula menyediakan geran RM5 juta untuk melindungi bakal pengeksport dan pengeksport sedia ada daripada risiko perdagangan komersial di pasaran berkenaan,” katanya.

Dalam aspek kelestarian, EXIM Bank akan melaksanakan Dana Kelestarian Alam 2.0 bernilai RM400 juta bagi membiayai inisiatif rendah karbon, sekali gus membantu perusahaan menerapkan amalan mampan dalam pelaburan dan operasi masing-masing.

Inisiatif itu turut menyokong usaha Malaysia memperkukuh amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi pembiayaan pembangunan yang bertanggungjawab.

Secara keseluruhan, mandat lebih RM1 bilion kepada EXIM Bank itu merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik bernilai lebih RM7 bilion yang diamanahkan kerajaan kepada Kumpulan BPMB bagi menyokong pembangunan ekonomi dan memperkukuh daya saing perusahaan tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini