PASIR MAS: Kerajaan Kelantan akan meneruskan pembinaan projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) bagi mengelakkan ia terus tertangguh walaupun Perdana Menteri mengumumkan peruntukan berjumlah RM250 juta melalui Belanjawan 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, ia akan diteruskan melalui kaedah bina, kendali dan serah (BOT).
Katanya, proses pemilihan kontraktor bagi projek berkenaan sudah dilaksanakan dan kerajaan negeri menyasarkan pelantikan itu akan dibuat tahun ini.
“Jika proses penganugerahan projek dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut, kontraktor boleh menguruskan kelulusan perancangan sebelum memulakan kerja pembinaan pada 2027.
“Kita tidak mahu projek ini tertangguh lagi. Jika menunggu peruntukan, kita bimbang pelaksanaannya turut tertunda sekiranya penyaluran dana mengambil masa. Sebab itu kita mahu meneruskan proses yang ada dan berharap projek ini dapat dilaksanakan seperti dirancang,” katanya semasa meninjau perkembangan terkini PLSB berhampiran Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Kalai, di sini hari ini yang dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Datuk Siti Fairus Zakaria.
Dr. Izani memberitahu, pihaknya masih meneliti perkembangan cadangan peruntukan RM250 juta bagi kerja-kerja pembinaan KB Sentral yang perlu melalui proses perbahasan dan kelulusan di Parlimen.
Katanya, berharap cadangan berkenaan mendapat pertimbangan sewajarnya.
“Kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat bagi meneliti cadangan pembangunan yang dikemukakan sebelum keputusan mengenai pelaksanaan projek dibuat.
“Kos pembinaan bangunan stesen sahaja dianggarkan antara RM50 juta hingga RM70 juta, manakala komponen pembangunan lain perlu diteliti berdasarkan cadangan kontraktor dan potensi pulangan pelaburan,” ujarnya.
13 Ogos lalu, projek KB Sentral tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa semata-mata untuk mengejar tarikh siap, sebaliknya memilih pendekatan lebih berhati-hati.
Dr. Izani berkata, ia bagi memastikan hab pengangkutan itu tidak berdepan risiko terbengkalai atau menjadi projek ‘gajah putih’.
Katanya, kelewatan pelaksanaan projek itu berpunca daripada penelitian kerajaan dalam memilih kontraktor yang benar-benar berkemampuan dari segi kewangan dan kepakaran.-UTUSAN











