MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Ridhwan Mohd. Ali berjanji memberi perhatian terhadap beberapa keperluan utama masyarakat Jawa di kawasan tersebut.
Menurutnya, itu adalah antara perkara yang dibangkitkan masyarakat Jawa khususnya di Paya Dalam ialah keperluan menyediakan kawasan masjid baharu serta menyelesaikan isu tanah perkuburan yang semakin terhad.
Selain itu, katanya, terdapat juga hasrat mereka untuk mewujudkan satu inisiatif khusus bagi membantu kumpulan kebudayaan masyarakat Jawa di kawasan berkenaan terus memelihara dan menghidupkan adat serta warisan mereka.
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin masyarakat Jawa termasuk Persatuan Anak Jawa di Paya Dalam bagi mendengar sendiri pandangan serta keperluan komuniti berkenaan.
“Jika saya diberi mandat menang di Ayer Molek saya akan membantu masyarakat Jawa di Paya Dalam dan meneruskan usaha bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Rahmad Mariman,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni bakal jemaah haji yang menjalani kursus di Masjid As-Salimin, Kandang di sini hari ini.
Mengulas lanjut Ridhwan berkata, penerimaan masyarakat Jawa terhadap BN juga amat positif dan mereka menyatakan kesediaan untuk bekerjasama bagi memastikan keperluan komuniti itu dapat diberikan perhatian sewajarnya.
“Mereka sendiri melihat ke hadapan untuk bekerjasama dan mahu BN terus membantu serta meletakkan keperluan mereka sebagai antara keutamaan untuk dilaksanakan di Ayer Molek,” katanya.
Katanya, antara usaha yang boleh diteroka ialah mewujudkan hubungan pertukaran budaya dengan rangkaian masyarakat Jawa di Indonesia menerusi program Sister City.
Jelasnya, usaha itu boleh membantu memperkukuh identiti, adat dan budaya masyarakat Jawa di Paya Dalam menerusi hubungan serta program pertukaran kebudayaan dengan masyarakat di Kepulauan Jawa Timur.
“Insya-Allah, melalui Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) saya akan cuba mewujudkan perkara ini supaya gaya hidup dan adat budaya mereka dapat diperkuatkan lagi menerusi hubungan serta pertukaran budaya,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan kempen berbaki tujuh hari sebelum hari pengundian, Ridhwan berkata, beliau kini memberi tumpuan kepada pecutan akhir bagi menyantuni seramai mungkin pengundi di kesemua tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam DUN berkenaan.
Katanya, beliau telah mengunjungi semua tujuh PDM dan berdasarkan pergerakan serta program yang dilakukan sejak awal tahun, dianggarkan kira-kira 50 peratus daripada hampir 25,000 pengundi di kawasan itu telah ditemui dalam pelbagai program dan pendekatan.
“Kalau dicampurkan dengan pergerakan sebelum tarikh kempen, saya sudah bergerak sejak awal tahun lagi dan saya rasa dalam pelbagai tempat, kira-kira 50 peratus sudah kita santuni,” katanya.
Menurut beliau, baki tujuh hari kempen akan digunakan sepenuhnya untuk memperhebat gerak kerja di peringkat PDM dengan memberi tumpuan kepada kawasan tumpuan pengundi serta program-program yang menghimpunkan masyarakat.
Beliau berkata, kekuatan jentera BN dan Perikatan Nasional (PN) juga akan dimanfaatkan bagi memastikan lebih ramai pengundi dapat disantuni menerusi pendekatan rumah ke rumah.
“Jentera daripada UMNO dan PAS termasuk MIC serta MCA akan bergerak dalam tujuh hari terakhir ini untuk menemui pemilih yang telah dikenal pasti dan membuat rayuan undi,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, Ridhwan akan berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Hakimin Mokhtar,dalam pertandingan satu lawan satu bagi merebut kerusi DUN Ayer Molek. – UTUSAN











