SYDNEY: Amaran tsunami di perairan Vanuatu ditarik balik selepas gempa bumi berukuran 6.9 skala Richter melanda kawasan itu hari ini, menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik.
Pusat itu dalam kenyataan terbaharu memaklumkan magnitud gempa disemak semula kepada 6.9 berbanding anggaran awal 7.2.
Sebelum ini, Jabatan Bahaya Geologi Vanuatu menggesa penduduk di kawasan pesisir pantai berpindah ke kawasan tanah tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa terletak kira-kira 200 kilometer di barat laut Port-Olry, di pulau Santo.
USGS turut mengesan satu lagi gempa bumi berukuran 6.3 magnitud berhampiran kawasan berkenaan.
Bekas Perdana Menteri Vanuatu, Alatoi Ishmael Kalsakau, menerusi Facebook memaklumkan lima gempa bumi berlaku pada Sabtu, termasuk gegaran susulan.
Beliau turut menggesa penduduk supaya sentiasa berwaspada dan menyemak aplikasi secara berkala bagi mendapatkan maklumat terkini.
Gempa bumi kerap berlaku di Vanuatu, sebuah negara kepulauan yang terletak di Lingkaran Api Pasifik, zon aktiviti seismik yang merentasi Asia Tenggara hingga ke lembangan Pasifik.- AFP











