KUPANG: Gempa bumi 6.1 magnitud yang melanda kawasan Sumba Barat Daya di Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada Ahad menyebabkan beberapa rumah penduduk, rumah ibadat, pejabat kerajaan dan sebuah sekolah mengalami kerosakan.
Pengarah Seismologi Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Teguh Rahayu berkata, kerosakan dilaporkan di kawasan Perokonda, termasuk sebuah Sekolah Dasar Islam dan puluhan rumah penduduk.
Beliau berkata, gegaran dirasai ramai orang di dalam rumah dan sesetengah penduduk di luar rumah, selain menyebabkan barangan tembikar pecah serta tingkap dan pintu retak.
“Gegaran pada skala VI dirasai seluruh penduduk selama kurang lebih satu minit di Kabupaten Sumba Barat Daya, Kabupaten Sumba Barat hingga Kabupaten Manggarai Barat, dengan sebahagian besar mereka terkejut dan berlari keluar dari rumah.
“Ada sebahagian dinding runtuh, manakala cerobong asap kilang mengalami kerosakan,” katanya.
Polis Sektor Kodi Utara melaporkan seorang warga emas berusia 73 tahun meninggal dunia akibat terkejut ketika gempa berlaku.
Ketua Polis Sektor Kodi Utara, AKP Bernadus Bili Kandi seperti dipetik Antara berkata, warga emas itu terkejut selepas melihat beberapa anggota keluarganya bertempiaran keluar dari rumah ketika gempa menggegarkan kawasan berkenaan.
Warga emas itu sempat berada di luar rumah, namun beberapa minit kemudian dia rebah, tidak sedarkan diri dan meninggal dunia.
Sementara itu, gempa bumi 5.9 magnitud turut menggegarkan kawasan Calang di Aceh pada Ahad pagi, kira-kira 42 minit selepas berlaku gegaran di Sumba Barat Daya, namun kedua-duanya tidak berpotensi mencetuskan tsunami.
Gempa itu berlaku pada pukul 6.37 pagi (waktu tempatan) dengan pusat gempa dikesan di laut, kira-kira 68 kilometer barat daya Calang, pada kedalaman 26 kilometer.
BMKG berkata, gegaran dirasai di beberapa kawasan di Aceh, termasuk Aceh Besar, Banda Aceh dan Aceh Barat, Aceh Selatan, Pidie Jaya, Bener Meriah, Nagan Raya, Aceh Tengah dan Sigli.-AGENSI











