Bangunan, jalan raya runtuh gempa bumi 7.7 gegar Panama

Bangunan, jalan raya runtuh gempa bumi 7.7 gegar Panama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANAMA CITY: Gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter melanda Panama semalam, menyebabkan beberapa bangunan dan jalan raya runtuh di bahagian tengah negara itu, namun tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa.

Sistem Perlindungan Awam Kebangsaan melaporkan, gegaran cetek itu dirasai di seluruh negara Amerika Tengah berkenaan yang mempunyai kira-kira 4.5 juta penduduk.

Gegaran berkenaan berlangsung kira-kira seminit, mencetuskan suasana panik di Panama City apabila orang ramai bergegas keluar dari bangunan pencakar langit ikonik di bandar itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bandar berkenaan terletak kira-kira 200 kilometer dari pusat gempa.

Seorang penduduk, Salomon Andion, 46, berkata gegaran kuat dan berpanjangan itu menyebabkan pelbagai barangan di kediamannya bergoncang.

“Saya ketakutan kerana gegaran itu sangat kuat dan berpanjangan. Barangan berat seperti almari, katil dan semua peralatan dapur turut bergoncang,” katanya kepada AFP selepas mengosongkan bangunan 15 tingkat yang didiaminya buat kali kedua susulan gegaran susulan.

Sementara itu, video yang tersebar luas di media sosial menunjukkan air melimpah dari kolam renang di atas bumbung sebuah bangunan setinggi lebih 20 tingkat.

Satu lagi rakaman memaparkan sebuah jambatan merentasi Terusan Panama bergoncang dengan kuat, namun kekal teguh ketika kenderaan melaluinya.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berlaku pada 5.56 petang GMT dengan pusat gempa terletak 10 kilometer dari bandar kecil Pitaloza Arriba di wilayah Herrera, tengah Panama.

USGS pada mulanya menganggarkan gempa itu berukuran 8.0 magnitud sebelum menyemak semula kepada 7.7 magnitud.

Amaran tsunami dikeluarkan bagi kawasan timur Lautan Pasifik, namun ditarik balik kemudian.

Pihak Berkuasa Terusan Panama berkata, operasi perkapalan melalui terusan yang menghubungkan Lautan Pasifik dengan Lautan Atlantik itu tidak terjejas dan berjalan seperti biasa.

Presiden Panama, Jose Raul Mulino, bergegas ke Penonome bagi menyelaras operasi tindak balas bencana.

Menteri Kesihatan, Fernando Boyd berkata, kawasan paling terjejas ialah wilayah Herrera dan Cocle serta Los Santos di tenggara negara itu.

Beliau berkata, bandar Tonosi di Los Santos terputus hubungan sepenuhnya.

“Kami sedang mencari jalan untuk ke sana melalui udara kerana laluan darat tidak boleh digunakan,” katanya.

Lapangan Terbang Antarabangsa Panama City, hab penerbangan utama di rantau itu, ditutup sementara.

Menurut Pihak Berkuasa Aeronautik Awam, beberapa penerbangan dilencongkan ke lapangan terbang lain sebagai langkah berjaga-jaga.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini