PETALING JAYA: Sekumpulan pemegang saham Industronics Berhad mencadangkan penstrukturan semula Lembaga Pengarah syarikat itu menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan ketelusan serta memelihara nilai pemegang saham dalam jangka panjang.
Kumpulan pemegang saham yang secara kolektif memiliki sekurang-kurangnya 10 peratus daripada modal saham terbitan syarikat itu telah mengemukakan permintaan rasmi bertarikh 25 November 2026 di bawah Seksyen 310(b) Akta Syarikat 2016.
EGM berkenaan dijadualkan berlangsung pada 5 Januari 2027.
Sebanyak tujuh resolusi biasa dicadangkan, termasuk perubahan komposisi Lembaga Pengarah menerusi penyingkiran tiga pengarah sedia ada dan pelantikan tiga pengarah baharu.
Menurut syarikat itu, cadangan tersebut mencerminkan hasrat pemegang saham untuk membawa pendekatan kepimpinan yang lebih berfokus kepada akauntabiliti, pengawasan kewangan dan perlindungan kepentingan korporat.
“Antara calon yang dicadangkan ialah Datuk Dr. Chu Boon Tiong, Liew Kwan Hoong dan Elise Chu Yi Xuan.
“Mereka dicadangkan menggantikan Dato’ Leong Sir Ley, Florence Kong Pau Choo dan Yiu Ka Fai sebagai sebahagian daripada usaha memperbaharui komposisi Lembaga Pengarah.
“Antara perkara yang mendorong cadangan berkenaan ialah keperluan mendapatkan penjelasan dan penyelesaian menyeluruh terhadap isu berkaitan pinjaman AS$4.6 juta daripada Bluemount Investment Fund SPC – Global Strategy Fund SP (Bluemount),” katanya dalam kenyataan.
Pinjaman yang dipersetujui menerusi perjanjian bertarikh 24 Mac 2025 itu dikaitkan dengan pelaburan dalam AMES Hotel (Melaka) Sdn Bhd, yang kemudiannya menimbulkan beberapa persoalan mengenai proses kelulusan, dokumentasi dan kawalan dalaman syarikat.
Menurut notis berkanun pemegang saham bertarikh 12 Oktober 2026, beberapa pengarah bebas sebelum ini membangkitkan keperluan mendapatkan dokumentasi sokongan yang lebih menyeluruh, termasuk laporan usaha wajar, penilaian dan rekod transaksi kewangan.
Perkara berkenaan turut membuka ruang kepada penambahbaikan proses pemantauan pelaburan, prosedur kelulusan serta amalan pendedahan korporat bagi memastikan setiap keputusan strategik dilaksanakan dengan tahap ketelusan dan akauntabiliti sewajarnya.
Pada 21 Ogos 2026, Bluemount mengumumkan telah memulakan prosiding sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Saman Sivil No. WA-22NCC-612-07/2026 terhadap Industronics dan lima defendan lain bagi mendapatkan semula lebih AS$5.26 juta, termasuk prinsipal tertunggak dan faedah berkaitan.
Penyelesaian isu tersebut dilihat penting bagi memberikan kejelasan terhadap kedudukan kewangan syarikat serta memastikan kepentingan semua pemegang saham terus diberi perhatian.
Sehubungan itu, permintaan mengadakan EGM dikemukakan sebagai saluran berkanun bagi membolehkan pemegang saham memainkan peranan lebih aktif dalam menentukan hala tuju syarikat.
EGM yang dijadualkan pada Januari depan dilihat sebagai peluang penting untuk Industronics menilai semula struktur kepimpinannya dan memperkukuh amalan tadbir urus korporat.
Perubahan yang dicadangkan bukan sahaja memberi tumpuan kepada komposisi Lembaga Pengarah, malah turut membawa agenda lebih luas berkaitan ketelusan pengurusan, disiplin kewangan dan perlindungan nilai pemegang saham.
Langkah itu juga berpotensi menyediakan asas lebih kukuh kepada syarikat untuk menangani isu tertunggak, meningkatkan keyakinan pelabur serta memastikan kepentingan korporat diberi keutamaan dalam setiap keputusan strategik.-UTUSAN











