KUALA NERUS Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berpotensi dibangunkan sebagai Universiti Darul Hadis bagi memperluas peluang lepasan institusi pondok dan maahad tahfiz melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu memerlukan jalinan lebih erat antara institusi pondok, maahad tahfiz dan universiti bagi menggabungkan sistem pengajian agama tradisional dengan struktur pendidikan tinggi.
Menurutnya, satu pendekatan baharu sedang diusahakan bagi membolehkan pelajar yang memiliki syahadah hafazan 30 juzuk al-Quran menduduki dua mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.
Katanya, kelulusan dalam kedua-dua mata pelajaran itu, khususnya dengan memperoleh kredit, dapat membuka laluan kepada golongan berkenaan untuk melanjutkan pengajian ke universiti.
“Saya telah menyarankan agar ada jalinan antara institusi pondok dan maahad tahfiz dengan universiti bagi mencantumkan ilmu yang diajarkan mengikut pedagogi di institusi berkenaan supaya dapat dijalinkan dengan struktur pedagogi atau metodologi pengajaran di universiti.
“Melalui pendekatan ini, mereka yang memperoleh syahadah hafazan 30 juzuk boleh mengambil dua mata pelajaran SPM bagi melayakkan diri memasuki universiti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sama’ Hadis Riyadus Solihin Bersama Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Dr. Ali Muhyiddin Al-Qaradaghi dan Program Ijtimak Pondok Nusantara di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, di sini.
Ahmad Zahid berkata, pendekatan itu sebelum ini diperkenalkan melalui Majlis TVET Negara, namun beliau mahu peluang sama diperluaskan kepada lepasan pondok dan tahfiz yang berminat mengikuti bidang pengajian selain kursus teknikal.
Katanya, UniSZA antara universiti yang menawarkan laluan berkenaan melalui kemasukan ke program asasi sebelum pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah. – UTUSAN











