UniSZA, YDSM perkasa kecemerlangan pendidikan pelajar B40 - Utusan Malaysia

UniSZA, YDSM perkasa kecemerlangan pendidikan pelajar B40

SULTAN Mizan Zainal Abidin (tengah) bergambar kenangan bersama wakil UniSZA dan YDSM selepas majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) untuk memperkasakan kecemerlangan pendidikan dalam kalangan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr. Fadzli Adam, berkata, melalui kerjasama tersebut dapat memastikan tiada anak Terengganu B40 yang tercicir daripada menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana alasan kemiskinan.

“MoU ini juga bertujuan menyambung semula kerjasama sebelum ini yang telah terjalin sejak tahun 2019 yang tertumpu kepada pengambilan pelajar-pelajar daripada golongan B40.

“Mereka ialah rakyat Terengganu yang layak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan Ijazah Sarjana Muda di UniSZA tertakluk kepada syarat kemasukan minima dan unjuran kemasukan yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Majlis Menandatangani MoU antara UniSZA dan YDSM itu berlangsung di sebuah hotel Kuala Lumpur, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga Pengerusi YDSM telah berkenan menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut.

MoU itu telah ditandatangani oleh Fadzli serta Pendaftar UniSZA, Muzafar Mohd. Din yang mewakili UniSZA manakala bagi pihak YDSM pula telah ditandatangani oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Datuk Mohd. Fadzli Yusof dan Datuk Mohd. Fauzi Mustaffa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UniSZA optimis MoU itu dapat membantu pelajar B40 untuk mengubah nasib keluarga mereka dan keluar dari kepompong kemiskinan.

“Kami komited menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk semua pelajar dan berharap mereka yang bakal menerima manfaat ini akan menggunakan peluang yang ada dengan baik dan menghabiskan pengajian dengan cemerlang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN