PETALING JAYA: Seramai 11 orang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom menerima rawatan di Klinik Kesihatan apabila mengadu tidak selesa selepas menikmati makan tengah hari di kantin sekolah tersebut, semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, situasi tersebut dipercayai berpunca daripada menu ayam gepuk yang disediakan oleh pengendali kantin sekolah berkenaan tidak diniyah beku sewajarnya.
“Tindakan pantas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu membolehkan rawatan serta ubat-ubatan disampaikan kepada seramai 11 orang pelajar di Klinik Kesihatan Jenjarom.
“Susulan daripada itu, kantin di sekolah tersebut telah ditutup buat sementara waktu untuk membolehkan siasatan terperinci dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan kes tersebut merupakan insiden terpencil apabila hanya melibatkan SMK Jenjarom dan tidak memberi kesan kepada sekolah lain.
“Kerajaan negeri akan menjalankan pemeriksaan secara rawak di kantin sekolah-sekolah dengan kerjasama JKNS bagi memastikan proses penyediaan makanan menepati prosedur operasi standard bagi keselamatan serta kesihatan pelajar-pelajar,” jelasnya. – UTUSAN











