KANGAR: Penjawat awam negeri ini termasuk kakitangan kontrak bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM1,500 menerusi pembentangan Belanjawan Perlis 2027, petang ini.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, pemberian itu adalah sebagai penghargaan terhadap segala jasa, pengorbanan dan dedikasi penjawat awam di negeri ini.
Menurut beliau, bantuan itu akan disalurkan secara dua peringkat pembayaran iaitu pada Januari dan Mac 2027.
“Di sebalik kecemerlangan pentadbiran negeri, penjawat awam merupakan individu yang bekerja dengan penuh amanah dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat Perlis.
“Sebagai penghargaan terhadap segala jasa, pengorbanan dan dedikasi penjawat awam, kerajaan negeri bersetuju memberikan BKK kepada semua penjawat awam negeri termasuk kakitangan kontrak berjumlah RM1,500,” katanya.
Abu Bakar berkata demikian semasa menbentangkan Belanjawan Perlis 2027 pada Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke 15 (Mesyuarat Bajet 2027) di Kompleks Seri Putra, di sini, petang ini.
Menurut beliau, bermula Januari 2027, kerajaan negeri juga akan menaikkan kadar elaun pegawai lantikan kontrak antara RM100 hingga RM220 sebulan.
Jelasnya, penambahbaikan itu bakal memberikan manfaat kepada 182 orang pegawai lantikan kontrak dengan peruntukan
sebanyak RM670,000.
“Kerajaan negeri turut menyelaraskan gaji pokok kepada semua Pembantu Guru Tadika di bawah Pentadbiran kerajaan negeri agar selaras dengan kadar gaji minimum melibatkan implikasi kewangan sebanyak
RM254,000,” katanya.
Tambahnya, penambahbaikan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri
untuk memastikan kebajikan penjawat awam terus terbela.
“Ini seiring dengan tanggungjawab dan komitmen mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN











