PETALING JAYA: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) melalui ILTIZAM, platform impak sosialnya, terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan keusahawanan Bumiputera menerusi ILTIZAM Catalyst, dengan 17 buah syarikat yang diwakili 34 usahawan berjaya menamatkan program bagi kohort 2026.
Dengan pencapaian ini, sebanyak 74 syarikat telah menerima manfaat sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2022.
Berucap di Majlis Pencapaian ILTIZAM Catalyst 2026, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, kohort tahun ini mencerminkan kepelbagaian landskap keusahawanan Bumiputera, merangkumi sembilan sektor termasuk pembuatan, perkhidmatan kesihatan serta makanan dan minuman.
“Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, Ekuinas memperuntukkan secara purata sekitar RM15 juta setahun bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif impak sosial di bawah ILTIZAM.
“Sejak 2022, Ekuinas telah melabur sebanyak RM8.1 juta melalui ILTIZAM Catalyst bagi membangunkan keupayaan syarikat dan usahawan Bumiputera. Sehingga kini, sebanyak 74 syarikat daripada pelbagai sektor telah menerima sokongan melalui program ini.”
“Di Ekuinas, kami percaya bahawa impak ekonomi yang bermakna perlu melangkaui pulangan pelaburan. Turut penting adalah usaha membangunkan modal insan, memperkukuh perniagaan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” kata Aliff Omar.
Sepanjang tujuh bulan pelaksanaannya, ILTIZAM Catalyst 2026 menyediakan bantuan teknikal dan pementoran berstruktur secara individu dalam empat bidang perniagaan yang kritikal, iaitu pengurusan kewangan dan pematuhan, penjenamaan dan pemasaran digital, adaptasi teknologi serta kepimpinan.
Program ini diperkenalkan pada tahun 2022 untuk membantu syarikat dan usahawan Bumiputera menangani cabaran utama, memperkukuh asas perniagaan serta membina keupayaan untuk berkembang secara mampan.
Bagi kohort ILTIZAM Catalyst 2026, 94 peratus berjaya mencapai sekurang-kurangnya tiga daripada empat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) program yang ditetapkan, mencerminkan perkembangan positif dalam usaha peserta memperkukuh pengurusan dan keupayaan perniagaan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Impak Sosial dan Ahli Lembaga Pengarah Ekuinas, Datuk Abdul Mutalib Alias, dalam ucapannya menekankan bahawa membina perniagaan yang mampan memerlukan lebih daripada keberanian untuk memulakan perniagaan dan cita-cita untuk berkembang.
“Untuk membina perniagaan yang mampan dan berdaya tahan, usahawan memerlukan disiplin dalam operasi, pertimbangan yang bijaksana, kepimpinan yang kukuh serta keupayaan untuk terus menyesuaikan diri dengan perubahan.”
Beliau turut mengingatkan para usahawan agar tidak berhenti belajar, tidak memandang ringan kepentingan asas perniagaan yang kukuh, dan sentiasa melihat kejayaan sebagai peluang untuk mewujudkan manfaat yang lebih luas kepada masyarakat.
“Apabila perniagaan anda berkembang, wujudkan lebih banyak pekerjaan, bangunkan bakat dan beri peluang kepada perniagaan lain untuk berkembang bersama anda.
“Dengan cara ini, kejayaan anda bukan sahaja membawa manfaat kepada syarikat sendiri, tetapi turut memberi kesan yang lebih luas kepada ekosistem dan komuniti di sekeliling anda.”
Abdul Mutalib turut menegaskan bahawa aspirasi pembangunan keusahawanan Bumiputera perlu melangkaui peningkatan bilangan perniagaan semata-mata, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembentukan perusahaan yang mempunyai asas kukuh, berdaya saing, berdaya tahan dan berupaya berkembang ke pasaran serantau dan antarabangsa.
Pengurus Zitas Synergy Garage, Zety Ain Sakinah Mohamad Isqandar, mewakili peserta ILTIZAM Catalyst kohort 2026 berkata program tersebut telah mengubah cara beliau melihat dan menguruskan perniagaannya.
“Program ini mengajar saya untuk memahami angka, berfikir secara strategik dan membuat keputusan berdasarkan data. Jika dahulu saya hanya memikirkan untuk memastikan perniagaan saya bertahan, kini saya memikirkan sejauh mana ia mampu berkembang.
“Saya sedar bahawa sebelum perniagaan saya boleh berkembang, saya sendiri perlu berkembang sebagai seorang usahawan,” katanya.
Seorang lagi peserta, Dr Irfan Abd Rahman, pengasas Diri Healthcare Sdn Bhd yang mengendalikan Klinik Ezra, berkata ILTIZAM Catalyst 2026 telah mengubah perspektif beliau terhadap pertumbuhan perniagaan.
“Pada awalnya, saya menyertai program ini untuk mencari peluang pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan. Namun, saya menyedari bahawa pertumbuhan bukan sahaja bergantung kepada kewangan, tetapi juga keupayaan pemimpin. Saya menyertai program ini untuk mengembangkan perniagaan, tetapi akhirnya saya sendiri berkembang sebagai pemimpin.”
Permohonan untuk menyertai ILTIZAM Catalyst 2027 kini dibuka sehingga 15 Disember 2026. Program yang ditaja sepenuhnya oleh Ekuinas ini menawarkan bimbingan pakar dan bantuan teknikal bagi membantu syarikat Bumiputera memperkukuh asas perniagaan serta membina strategi pertumbuhan yang lebih mampan dan berdaya saing.
Syarikat Bumiputera yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mempunyai sekurang-kurangnya 51% pemilikan Bumiputera dan mencatatkan hasil tahunan antara RM300,000 hingga RM1 juta digalakkan untuk memohon. Permohonan boleh dibuat di laman web ILTIZAM Catalyst, https://iltizam-catalyst.ekuinas.com.my sebelum 15 Disember 2026.











