Wanita maut dilibas kipas pesawat

Wanita maut dilibas kipas pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANCHORAGE: Seorang wanita maut selepas terkena kipas pesawat yang sedang berputar dalam kejadian di Lapangan Terbang Big Lake, Alaska, Amerika Syarikat (AS), pada Rabu.

Mangsa, Christina Blake, 38, dari Wasilla, dipercayai terlibat dalam kemalangan itu ketika menghampiri sebuah pesawat yang baru mendarat.

Menurut Jabatan Keselamatan Awam Alaska, kejadian berlaku di lapangan terbang kecil yang mempunyai satu landasan, kira-kira 32 kilometer dari Anchorage.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika kejadian, Blake sedang memandu di laluan teksi sebelum sebuah pesawat jenis Taylorcraft F19 mendarat dan bergerak ke arahnya.

Juruterbang kemudian memberhentikan pesawat dan menunggu kenderaan mangsa beredar dari laluan berkenaan.

Bagaimanapun, Blake keluar dari kenderaannya sebelum menghampiri pesawat yang enjinnya masih hidup dan terkena kipas pesawat itu ketika ia tidak bergerak.

Pasukan penyelamat yang tiba di lokasi cuba menyelamatkan mangsa, namun beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke pejabat pemeriksa perubatan negeri untuk bedah siasat, manakala ahli keluarganya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Pihak berkuasa percaya kejadian berkenaan berlaku secara tidak sengaja.

Pasukan polis negeri tidak percaya mangsa sengaja menghampiri kipas pesawat itu, menurut jurucakap Jabatan Keselamatan Awam, Austin McDaniel, kepada Anchorage Daily News.

Mangsa dilaporkan sempat memberi isyarat kepada juruterbang beberapa saat sebelum kejadian.

McDaniel berkata, Blake dipercayai tidak mempunyai sebarang kaitan dengan lapangan terbang berkenaan dan pihak berkuasa masih belum mengetahui tujuan kehadirannya di lokasi itu.

Menurut laporan akhbar itu, juruterbang berusaha mematikan enjin ketika melihat Blake menghampiri pesawat berkenaan, namun gagal mengelakkan kejadian tersebut.

Juruterbang tidak mengalami kecederaan, manakala tiada penumpang berada di dalam pesawat ketika kejadian.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini