PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak yang akan disalurkan pada awal Mac 2026 sempena sambutan Aidilfitri.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan sama turut diberikan kepada pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen sebanyak RM250 seorang.
“Bantuan khas ini diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat bakti penjawat awam serta bagi membantu mereka membuat persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, langkah itu juga mengambil kira peningkatan gaji penjawat awam pada 2026 yang melibatkan penambahan RM18 bilion, selain pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara bulanan bagi meringankan beban rakyat.
“Pemberian itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Madani dalam memastikan kesejahteraan penjawat awam dan pesara terus terpelihara selaras dengan komitmen untuk menambah baik struktur gaji dan kebajikan perkhidmatan awam,” katanya. – UTUSAN










