Starlink hadkan kelajuan, Ukraine beralih kepada satelit Israel

Starlink hadkan kelajuan, Ukraine beralih kepada satelit Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sebahagian pasukan dron tentera Ukraine kini menggunakan perkhidmatan penyedia satelit dari Israel, HiSKY sebagai alternatif kepada sistem Starlink milik hartawan, Elon Musk selepas had kelajuan yang dikenakan menjejaskan operasi ketenteraan mereka, lapor akhbar The Wall Street Journal (WSJ).

Memetik dua sumber yang mengetahui perkara itu, akhbar berkenaan melaporkan beberapa kelengkapan persenjataan yang digunakan dalam serangan Ukraine ke atas jambatan yang menghubungkan wilayah Crimea yang diduduki Russia turut bergantung kepada sistem HiSKY.

“Tidak seperti Starlink, HiSKY juga berfungsi di dalam wilayah Russia dan pasukan dron Ukraine menggunakannya untuk memburu pelancar peluru berpandu balistik milik Moscow,” kata salah seorang sumber kepada WSJ.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, sistem buatan Israel itu memerlukan kepakaran teknikal lebih tinggi termasuk kehadiran pakar semasa misi dijalankan, sekali gus menjadikannya lebih sesuai digunakan bagi misi bernilai tinggi berbanding operasi dron rutin harian yang dilancarkan Ukraine.

Selain itu, tentera Ukraine turut beralih kepada rangkaian mesh yang memancarkan isyarat radio antara dron serta rangkaian selular.

Namun kedua-duanya mempunyai kelemahan tersendiri apabila sambungan selular hanya berfungsi di kawasan tertentu dan mudah diganggu, manakala rangkaian mesh memerlukan peralatan mahal serta sering mengalami kelewatan paparan video.

Penyedia perkhidmatan dari Eropah seperti OneWeb milik Eutelsat pula mempunyai liputan rangkaian jauh lebih kecil berbanding Starlink dengan kos terminal yang lebih mahal.

Pengasas kumpulan analisis ketenteraan Oko Hora, Dmytro Batekha mengakui negara itu belum memiliki alternatif berdaya maju sepenuhnya untuk menggantikan Starlink buat masa ini.

“Banyak dron Ukraine telah dikonfigurasikan khusus untuk perkhidmatan SpaceX dan sering kali perlu dihantar semula kepada pengilang bagi membolehkannya beroperasi dengan sistem lain,” jelasnya.

Ukraine sebelum ini bergantung kepada Starshield iaitu versi ketenteraan Starlink yang disediakan SpaceX di bawah kontrak kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi mengganggu logistik tentera Russia serta membantu memintas dron berkuasa jet milik Moscow.

Namun, unit tentera Ukraine memaklumkan mereka berdepan sekatan had kelajuan 160 kilometer sejam (km/j) pada terminal Starshield dalam dua tempoh pada musim luruh ini, sekali gus menyebabkan dron serangan mereka lebih mudah ditembak jatuh dan sukar mengejar dron jet Russia.

“Sejak mereka mengehadkan kelajuan tersebut, terdapat beberapa misi yang tidak dapat kami laksanakan termasuk pemintasan peluru berpandu,” kata Leftenan Kanan Rejimen Serangan Berasingan Pertama Ukraine, Vladyslav Oliinyk.

Seorang pengendali dron jarak sederhana yang dikenali dengan nama panggilan Loza pula menyifatkan situasi itu menyebabkan kecekapan operasi semakin merosot dengan peluang serangan berkurangan walaupun usaha lebih besar terpaksa dilakukan bagi mencapai hasil sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini