MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin mencadangkan sidang kemuncak bulan depan bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin China, Xi Jinping bagi merundingkan penamatan konflik Ukraine dengan syarat yang memihak kepada Moscow.
Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ) yang memetik bekas pegawai perisikan Russia, cadangan Putin dikemukakan dalam perbualan telefon dengan Trump pada 9 Oktober lalu.
Perbualan itu turut menghasilkan persetujuan untuk AS membeli diesel Russia dan membantu memasarkannya di pasaran global.
Trump pada Khamis berkata, Washington sedang mengadakan rundingan dengan Moscow dan Beijing mengenai usaha mencapai pelucutan senjata nuklear.
Dalam temu bual bersama Newsmax, beliau berkata, AS sedang membincangkan perkara itu dengan Russia dan China.
Saluran berkenaan turut melaporkan Trump sudah berbincang dengan Jinping mengenai penyahsenjataan nuklear.
Menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), Russia dan AS memiliki dua arsenal nuklear terbesar di dunia, manakala China meningkatkan keupayaan nuklearnya dengan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, laporan WSJ itu tidak menyatakan sama ada cadangan sidang kemuncak Putin berkaitan dengan perbincangan mengenai pelucutan senjataan nuklear tersebut.











