Gerakan anti-Trump anjur 3,000 perhimpunan galak undi awal

Gerakan anti-Trump anjur 3,000 perhimpunan galak undi awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Gerakan anti-Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, No Kings, menganjurkan lebih 3,000 perhimpunan di seluruh negara pada Sabtu bagi menggalakkan pengundi keluar mengundi lebih awal menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November ini.

Perhimpunan itu merupakan penganjuran kali keempat gerakan berkenaan sejak Trump kembali memegang jawatan Presiden, namun kali ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penyertaan pengundi berbanding membantah dasar pentadbirannya.

Kempen No Kings: Vote Early, itu bertujuan memastikan pengundi yang layak mengetahui pilihan pengundian yang tersedia serta membuat persiapan untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penganjur berkata, acara itu menghimpunkan masyarakat tanpa mengira fahaman politik bagi menggalakkan pengundian awal dan memastikan setiap pengundi berpeluang menyuarakan pendapat melalui peti undi.

“Ini adalah hari bagi penyertaan pengundi tanpa memihak kepada mana-mana parti. Kami menghimpunkan komuniti untuk merancang pengundian awal serta memastikan setiap pengundi yang layak memahami pilihan yang tersedia dan berpeluang menyuarakan pendapat mereka,” menurut kenyataan penganjur.

Pelbagai aktiviti dirancang mengikut lokasi, termasuk festival muzik di Los Angeles, perarakan ke Mahkamah Agung di Washington, bengkel mesra keluarga di Chicago serta latihan untuk pemerhati pilihan raya di Atlanta.

Ketua Pegawai Politik dan Advokasi Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU), Deirdre Schifeling, berkata acara itu akan menjadi platform untuk meraikan hak rakyat mengundi.

“No Kings: Early Vote akan menjadi ribuan sambutan penuh kegembiraan terhadap hak kita untuk mengundi di seluruh negara,” katanya.
ACLU merupakan antara organisasi rakan penganjur yang terlibat dalam penganjuran acara berkenaan.

Walaupun hari pengundian ditetapkan pada 3 November, kebanyakan kawasan di AS membenarkan pengundi menunaikan hak mereka lebih awal, termasuk beberapa minggu sebelum tarikh berkenaan.

Alma Couverthie, yang menyelia usaha mobilisasi akar umbi bagi organisasi pemantau demokrasi Common Cause, berkata perhimpunan No Kings bertujuan mengembalikan makna sebenar pengundian sebagai wadah memperkasakan rakyat, berkhidmat kepada masyarakat dan meraikan demokrasi.

“Sabtu ini, 17 Oktober, akan menjadi sambutan terhadap kekuatan kolektif kita. Berjalan bersama-sama ke pusat mengundi, mengatur pengangkutan serta mengajak jiran, rakan dan keluarga,” katanya ketika menyeru penyertaan orang ramai.

Trump secara terbuka mengkritik amalan pengundian melalui pos, manakala pihak yang menentangnya bimbang pentadbiran itu akan cuba menjejaskan keputusan pilihan raya, khususnya sekiranya Parti Republikan mengalami kekalahan, seperti yang ditunjukkan dalam tinjauan pendapat.

Menerusi kempen menggalakkan pengundian awal, penganjur No Kings berharap dapat mengurangkan risiko berlakunya penyelewengan apabila hari pengundian tiba.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini