Apakah yang paling didambakan oleh setiap insan ketika berhadapan dengan Hari Perhitungan?
Tatkala harta, pangkat dan kedudukan tidak lagi membawa manfaat, hanya rahmat Allah SWT dan syafaat Rasulullah SAW menjadi harapan terbesar bagi setiap hamba yang mendambakan keselamatan.
Berangkat daripada hakikat inilah lahirnya buku Syafaat yang Didambakan: Rahmat Allah kepada HambaNya, sebuah naskhah yang mengajak pembaca memahami makna syafaat dan mempersiapkan diri untuk meraih anugerah yang paling agung di akhirat kelak.
Syafaat bukan sekadar istilah yang sering disebut dalam ceramah atau kitab-kitab agama.
Ia merupakan janji rahmat Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman serta salah satu nikmat terbesar yang dinantikan pada hari ketika setiap manusia mencari pertolongan.
Buku ini mengupas konsep tersebut dengan berpandukan al-Quran, hadis sahih dan huraian para ulama.
Dengan bahasa yang jelas, tersusun dan mudah difahami, penulis membawa pembaca menyelami maksud sebenar syafaat, hikmah di sebalik pensyariatannya dan kedudukan syafaat dalam kehidupan seorang Muslim.
Setiap perbincangan disampaikan secara ilmiah tetapi dekat dengan realiti kehidupan, menjadikan kandungannya mudah dihayati oleh semua lapisan masyarakat.
Buku ini turut menghuraikan pelbagai jenis syafaat yang disebut dalam nas-nas syarak, siapakah yang diizinkan Allah SWT untuk memberi syafaat, siapakah layak menerimanya dan apakah amalan yang membuka pintu kepada keistimewaan tersebut.
Semua ini dijelaskan secara sistematik agar pembaca memperoleh kefahaman tepat dan seimbang.
Lebih daripada sebuah karya ilmiah, ia juga berperanan sebagai seruan untuk kembali memperbaiki hati, mengukuhkan amal dan memperbaharui hubungan dengan Allah SWT.
Ia mengingatkan yang kehidupan di dunia hanyalah persinggahan sementara, manakala kehidupan akhirat merupakan destinasi yang kekal abadi.
Keistimewaan buku ini ialah kemampuannya membangkitkan rasa rindu kepada Rasulullah SAW.
Melalui perbahasan tentang syafaat Baginda, pembaca diajak menyedari yang kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan sekadar diungkapkan dengan lisan, tetapi dibuktikan melalui ketaatan kepada sunnah, akhlak dan perjuangan Baginda.
Dalam dunia yang penuh dengan cabaran, kelalaian dan godaan, buku ini menjadi satu wake-up call kepada setiap umat Islam agar tidak terus hanyut dalam kesibukan dunia.
Sebaliknya, ia mengajak pembaca memperbaharui niat, memperbanyakkan amal soleh dan sentiasa mengharapkan rahmat Allah SWT tanpa berputus asa.
Penulis turut menegaskan rahmat Allah SWT sentiasa terbuka luas kepada hamba-hambaNya yang ingin kembali kepadaNya.
Setiap langkah menuju kebaikan, taubat yang ikhlas dan amalan yang dilakukan dengan penuh keimanan menjadi sebab untuk memperoleh kasih sayang dan keampunan Allah SWT.
Satu kekuatan utama buku ini ialah keseimbangan antara ilmu dan penghayatan.
Ia bukan sahaja menjawab persoalan tentang konsep syafaat dari sudut akidah, bahkan menggerakkan hati pembaca untuk bermuhasabah dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT sebelum tibanya hari pembalasan.
Dengan gaya penulisan yang menyentuh jiwa, buku ini menghidupkan semula harapan yang tiada insan harus berputus asa daripada rahmat Allah SWT.
Selagi pintu taubat masih terbuka, kita mempunyai peluang untuk kembali mendekatkan diri kepadaNya.
Syafaat yang Didambakan sesuai dijadikan bacaan semua lapisan masyarakat dan sesiapa sahaja yang ingin memperkukuhkan kefahaman tentang kehidupan akhirat.
Ia juga menjadi bahan renungan yang mengingatkan setiap amal, sekecil mana sekalipun, mempunyai nilai di sisi Allah SWT.
Karya ini menjadi teman perjalanan rohani yang membimbing pembaca memahami hakikat kehidupan, menghidupkan rasa takut kepada azab Allah SWT serta menyuburkan harapan terhadap rahmat dan keampunanNya.











