GEORGE TOWN: Malaysia perlu meningkatkan tahap kewaspadaan susulan kegiatan agensi perisikan Israel, Mossad yang didakwa semakin aktif dan mempunyai pengaruh kuat di negara jiran sejak tiga hingga empat tahun kebelakangan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu perlu diberi perhatian serius terutama susulan dakwaan pembelian tanah oleh pihak berkaitan Israel di beberapa lokasi di Thailand termasuk Phuket, Bangkok dan Selatan negara itu.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima kekuatan kegiatan berkenaan dipercayai meningkat sehingga tiga kali ganda dalam tempoh berkenaan.
“Sekarang ini saya minta Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan kepada rakyat bahawa kegiatan Mossad (Israel) yang berpangkalan di negara jiran sangat kuat.
”Dalam tiga empat tahun ini naik tiga empat kali, tiga kali kekuatannya. Tanah-tanah yang dikuasai Israel itu telah dibeli bukan sahaja di Phuket dan Bangkok, tetapi juga di Selatan Thailand,” katanya ketika berucap pada program Semarak Wakaf Perdana 2026 di sini hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berkata, Malaysia perlu mengekalkan hubungan baik dengan negara jiran bagi memastikan sebarang ancaman keselamatan dapat ditangani secara bersama.
”Kita kena baik dengan negara jiran supaya dapat kita tangani hal ini. Dan keduanya. Kita kena waspada supaya kekuatan kita itu ada,” katanya.
Mengulas hubungan antarabangsa, beliau berkata, Malaysia perlu mengambil pendekatan diplomasi dan menjalin hubungan baik dengan semua negara termasuk kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat.
Katanya, hubungan baik itu penting kerana Malaysia merupakan sebuah negara kecil yang perlu memastikan kepentingan serta keselamatan negara terus terpelihara.
Beliau berkata, walaupun terdapat perbezaan pendirian dengan Amerika Syarikat (AS), hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara itu tetap penting untuk dipelihara.
Menurutnya, AS merupakan antara rakan dagang dan pelaburan terbesar Malaysia, manakala China pula ialah kuasa besar yang mempunyai kedudukan strategik di rantau ini.
Anwar turut mengimbas hubungan diplomatik Kesultanan Melayu Melaka dengan China sebagai contoh bagaimana hubungan baik dengan kuasa besar mampu membantu menjamin keselamatan dan kelangsungan sesebuah negara.
Justeru, katanya, Malaysia perlu bijak mengimbangi hubungan dengan negara besar serta negara jiran tanpa mengetepikan kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara. – UTUSAN











