Perubahan kerajaan baharu Israel belum jamin nasib warga Palestin - Utusan Malaysia

Perubahan kerajaan baharu Israel belum jamin nasib warga Palestin

BENJAMIN Netanyahu dan Gadi Eisenkot. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Era pemerintahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sudah berakhir apabila Presiden Isaac Herzog, kelmarin memberikan mandat kepada pemimpin parti Yashar dan bekas ketua tentera itu, Gadi Eisenkot membentuk kerajaan baharu.

Herzog memberikan mandat kepada Eisenkot selepas Netanyahu dan blok sayap kanan termasuk parti Likud pimpinannya gagal untuk mendapat majoriti secukupnya dalam pilihan raya umum pada 27 Oktober lalu.

Eisenkot yang kemudian berikrar akan melakukan segala-galanya untuk membentuk kerajaan baharu, disokong oleh parti-parti yang mewakili 67 ahli Parlimen berbanding 46 ahli Parlimen bagi blok Netanyahu

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, sokongan terhadap Eisenkot turut me­rangkumi anggota minoriti Arab di Israel, yang jumlah kerusi dimenangi mereka meningkat mendadak dalam pilihan raya itu susulan kemarahan terhadap Netanyahu, selain kumpulan berhaluan kanan dalam blok pembangkang yang menolak kebergantungan kepada undi Arab.

Netanyahu yang berasal daripada keluarga elit dan bapanya merupakan seorang profesor terkemuka di Amerika Syarikat (AS) telah menjadi perdana menteri Israel paling lama berkhidmat. Kali pertama beliau menjadi perdana menteri ialah pada 1996.

Bagaimanapun, beliau kini menjadi perdana menteri sementara sehingga Einsenkot    dapat membentuk kerajaan baharu dalam tempoh 28 hari de­ngan kemungkinan lanjutan selama 14 hari atas arahan Herzog.

Netanyahu turut berdepan waran tangkap berhubung perang di Gaza yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)

Beliau sebelum ini sudah menggesa pembentukan kerajaan perpaduan tetapi ditolak pihak pembangkang yang  bertegas mahu beliau disingkirkan terlebih dahulu.

Walaupun, perubahan berlaku dengan Netanyahu yang mana beliau telah memulakan perang Gaza pada 7 Oktober 2023 sebelum gencatan senjata diadakan pada Oktober 2025, tetapi nasib penduduk Palestin masih lagi tidak berubah.

Sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas yang membunuh kira-kira 1,200 orang di selatan Israel, Netanyahu kemudian melancarkan serangan besar-besaran di Gaza yang me­ngorbankan lebih 74,300 orang.

Eisenkot turut menuduh Netanyahu melakukan kegagalan strategik di Gaza, dengan berkata, Hamas masih menjadi pemerintah dan masih bersenjata dan aktif secara ketenteraan selepas tiga tahun perang.

Tambahan lagi, Eisenkot yang merupakan anak kepada pasangan Yahudi Maghribi dan membesar di kawasan pinggir geografi Israel turut berikrar untuk menamatkan pemerintahan Hamas dalam tempoh 18 bulan, sama ada menerusi pelaksanaan pelan gencatan senjata tajaan Presiden AS, Donald Trump yang melibatkan pelucutan senjata kumpulan pejuang itu secara berperingkat dan peralihan kuasa atau melalui operasi krea­tif yang bertujuan memusnahkan sayap ketenteraannya. 

Eisenkot juga berusaha meraih sokongan pelbagai kelompok masyarakat Israel dengan menjanjikan perlindungan lebih baik kepada komuniti Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Pelik (LGBTQ), selain mempertahankan penguasaan Israel ke atas Tebing Barat ketika berhadapan dengan masyarakat Yahudi.

Eisenkot menolak pembentukan gabungan yang bergantung secara langsung kepada soko­ngan parti-parti pimpinan Arab, sebaliknya berusaha mendapatkan sokongan dua parti ultra-Ortodoks, United Torah Judaism dan Shas bagi memperoleh majoriti mudah 61 kerusi.

Beliau yang pernah mengetuai tentera Israel dari 2015 hingga 2019 dan berkhidmat sebagai pemerhati dalam Kabinet perang Netanyahu sepanjang lapan bulan pertama serangan Israel di Gaza.

Peralihan kuasa itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pembentukan kerajaan baharu akan membawa perubahan terhadap pendekatan Israel dalam konflik Palestin, termasuk operasi ketenteraannya di Gaza yang terus memberi kesan kepada penduduk di wilayah berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menolak secara tegas pengambilan tanah secara paksa Tebing Barat dan penubuhan pos penempatan haram yang tidak mendapat kebenaran, seperti yang dibenarkan kerajaan Netanyahu dan mencetuskan peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, di Gaza yang musnah akibat perang dan Tebing Barat yang diduduki, ramai rakyat Palestin kurang menumpukan perhatian kepada siapa yang memenangi pilihan raya Israel berbanding persoalan sama ada keadaan benar-benar akan berubah.

“Kami bimbang pilihan raya itu mungkin membawa kepada pemimpin yang lebih buruk,” kata Huda al-Houli, penduduk Khan Yunis di selatan Gaza yang terpaksa berpindah.

Katanya, keputusan sedemikian hanya akan membawa kepada lebih banyak kemusnahan dan kehancuran di wilayah Palestin itu di mana hampir keseluruhan bangunan musnah akibat perang Gaza. 

 Kekalahan Netanyahu mungkin menyebabkan keadaan rakyat Palestin menjadi lebih buruk dalam jangka pendek, menurut Yousef Munayyer, ketua program Palestin-Israel di Arab Center Washington.

“Rakyat Palestin mempunyai banyak sebab untuk berasa bimbang,” katanya.

Munayyer berkata, Eisenkot sendiri pernah berkhidmat dalam kabinet perang Israel ketika serangan ketenteraan berlaku di Gaza.

Gabungan alternatif yang rapuh dan sentiasa berdepan serangan politik daripada Netanyahu serta golongan kanan mungkin cuba membuktikan bahawa mereka cukup tegas dengan mengambil pendirian lebih keras dalam isu Palestin.

Dalam pada itu, Tebing Barat, keganasan mungkin meningkat sekiranya golongan pelampau kanan kehilangan kuasa, de­ngan peneroka berkemungkinan bertindak ganas terhadap kerajaan baharu, jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini