BANDAR GAZA: Gabungan Senarai Bersama Arab Israel memberi amaran bahawa hujan lebat dan banjir semakin memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza.
Amaran itu disuarakan dalam satu kenyataan oleh Senarai Bersama, yang memenangi 12 daripada 120 kerusi di Parlimen Israel (Knesset), susulan ribut yang menyebabkan puluhan ribu khemah di Semenanjung Gaza ditenggelami banjir.
Senarai Bersama berkata, ribut petir itu membawa hujan lebat dan mendapat liputan meluas media serta media sosial.
Bagaimanapun, pakatan itu berkata, satu kawasan hampir tidak disebut dalam liputan berkenaan, manakala kejadian banjir di situ juga gagal mendapat perhatian utama media.
Menurut Senarai Bersama, ini merupakan musim sejuk keempat di mana ratusan ribu rakyat Palestin di Gaza terpaksa bertahan hidup di dalam khemah.
Setiap kali hujan turun, khemah mereka ditenggelami banjir sehingga menyebabkan penduduk kehilangan tempat berlindung dan terpaksa berdepan keadaan hidup yang tidak tertanggung.
Pakatan itu memberi amaran bahawa golongan ibu, bayi dan seluruh keluarga terpaksa berdepan kesejukan dan hujan tanpa tempat berlindung, sedangkan keadaan kemanusiaan serta kehidupan mereka sememangnya sudah amat daif.
“Sampai bila kita mahu terus menutup mata dan mengabaikan krisis kemanusiaan dahsyat yang berpunca daripada kemusnahan, pembunuhan beramai-ramai dan pengeboman di sana?” soalnya.
Pada Sabtu, hujan lebat menyebabkan sekurang-kurangnya 70,000 khemah yang menempatkan penduduk Palestin ditenggelami air di seluruh Gaza dalam tempoh 12 jam, sekali gus memburukkan keadaan kehidupan mereka di tengah sekatan berterusan Israel.
Kira-kira 2.15 juta penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal setakat Ogos lalu, dengan 867,000 daripada mereka berlindung di khemah usang akibat serangan Israel pada 7 Oktober 2023. – AGENSI











