Baki hukuman Najib di rumah perlu dilaksana tanpa penyimpangan

Baki hukuman Najib di rumah perlu dilaksana tanpa penyimpangan

MOHAMED APANDI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Lem­baga Pengampunan berhubung pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah perlu dilaksanakan mengikut apa yang sudah diputuskan tanpa sebarang penyimpangan.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ber­kata, perkara itu tidak boleh disalah tafsir dan ia jelas sebagaimana termaktub dalam undang-undang.

Malah katanya, Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas menyatakan sebelum memberikan nasihatnya mengenai apa-apa perkara, Lem­baga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin sudah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sudah tentu pandangan Peguam Negara bagi tujuan pengampunan itu mestilah me­mihak kepada pemberian pengampunan berkenaan.

“Jadi, mengapakah Peguam Negara kini seolah-olah berubah-ubah pendirian berhubung perkara pengampunan itu? Kea­daan ini amat tidak munasabah,” katanya semalam.

Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dalam kenyataan pada September lalu memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee sebelum ini mengesahkan bekas Perdana Menteri itu selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Pada Julai 2020, Najib disabitkan atas kesalahan menye­leweng RM42 juta dana SRC International didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Bagaimanapun pada 2 Februari 2024, Urus Setia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Mohamed Apandi juga bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa tiada sebarang ambiguiti dalam keputusan Lembaga Pengampunan.

Istana Negara menerusi kenyataan berkata, sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib menjurus kepada tindakan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Mohamed Apandi berkata, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu sudah dipenuhi dan pelaksanaannya tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.

Menurutnya, di bawah Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi sementara Perkara 5 pula memperuntukkan hak berkenaan kebebasan diri.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini