TEMERLOH: Pekan Sehari Temerloh yang berusia lebih 150 tahun berpotensi mendapat pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menerusi usaha memelihara sejarah dan tradisi perniagaan yang diwarisi sejak era 1870-an.
Ketua Pengarah Arkib Negara, Zaidin Mohd. Noor berkata, pengiktirafan itu mampu memperkenalkan keunikan pekan sehari berkenaan kepada masyarakat antarabangsa.
Menurutnya, Pekan Sehari Temerloh bukan sekadar tempat orang ramai membeli dan menjual barangan malah menjadi lokasi pertemuan masyarakat serta sebahagian daripada sejarah kehidupan penduduk setempat.
“Tradisi pekan sehari ini mempunyai nilai sejarah yang besar kerana berjaya bertahan merentasi beberapa generasi dan membentuk identiti penduduk Temerloh.
“Warisan ini perlu dipelihara supaya tidak hilang ditelan zaman,” katanya pada Program Bicara Sejarah Pekan Sehari Temerloh anjuran Arkib Negara Malaysia (ANM) Negeri Pahang dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh di Dewan Semantan Perdana, Hotel Seri Malaysia Temerloh di sini.
Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man.
Zaidin berkata, usaha mendapatkan pengiktirafan UNESCO perlu dimulakan dengan mewartakan Pekan Sehari Temerloh sebagai tapak warisan negeri sebelum dibawa ke peringkat kebangsaan.
Menurutnya, pengiktirafan sedia ada turut menjadi kekuatan untuk menyokong usaha memelihara pekan sehari berkenaan.
Pada Disember 2023, Pekan Sehari Temerloh menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records iaitu pasar pagi terpanjang di Malaysia sepanjang 2,153 meter dan mempunyai jumlah peniaga berdaftar paling ramai seramai 607 orang.-UTUSAN.











