Malaysia gagal pertahan gelaran Asia

Malaysia gagal pertahan gelaran Asia

Skuad wanita negara meraih pingat perak, manakala, pasukan lelaki membawa pulang gangsa pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia 2026 di Islamabad, Pakistan, kelmarin. - Ihsan Persekutuan Skuasy Pakistan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat skuad wanita negara mempertahankan gelaran Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia 2026 tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Hong Kong pada final di Islamabad, Pakistan, kelmarin.

Turun tanpa kelibat bintang No. 4 dunia, S. Sivasangari dan beberapa pemain senior, Malaysia berdepan masalah untuk memberi tentangan kepada Hong Kong.

Kekalahan itu menyaksikan barisan muda Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, sekali gus membuka laluan kepada Hong Kong yang membariskan skuad senior dalam kejohanan edisi ke-23 itu di Kompleks Skuasy Mushaf.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dengan format penggiliran pemain 3-1-2, perseorangan ketiga negara, Yee Xin Ying yang menghuni ranking ke-71 dunia gagal menghadiahkan mata pertama buat Malaysia apabila tewas kepada Toby Tse yang jauh lebih berpengalaman 11-5, 6-11, 5-11, 6-11.

Bagaimanapun, peluang untuk mempertahankan gelaran kembali menyala apabila pemain No. 54 dunia, Yashmita Jadish Kumar mengikat Hong Kong 1-1, selepas membenam Lee Ka Yi 11-8, 11-9, 7-11, 11-4.

Namun begitu, pemain No. 59 dunia, Noor Ainaa Amani Ampandi yang diletakkan sebagai perseorangan kedua terpaksa akur kepada Chan Sin Yuk 7-11, 7-11, 11-9, 7-11 dan sekali gus, membolehkan Hong Kong menutup aksi dengan kemenangan 2-1.

Sementara itu, Malaysia yang turut menghantar skuad kedua dalam saingan lelaki dengan diwakili Joachim Chuah, Siow Yee Xian, Duncan Lee dan Low Wa Sern terpaksa berpuas hati membawa pulang pingat gangsa.

Mereka tewas 1-2 kepada Korea Selatan pada separuh akhir.

Sementara itu, tuan rumah, Pakistan meraih pingat emas, selepas menundukkan Korea Selatan 2-1 pada final.

Pemain utama tuan rumah, Noor Zaman menewaskan Ryu Jeong Min 11-5, 11-7, 13-11 sebelum Muhammad Asim Khan memastikan kemenangan Pakistan menerusi kejayaan 11-6, 11-5, 11-4 ke atas Oh Seo Jin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini